Langganan Piala Dunia 2026 Unifi TV Bermula RM15 Sehari Atau RM75 Untuk Pas Musim
Effi Saharudin
Sudah hampir sebulan Radio TV Malaysia (RTM) dan Unifi TV diumumkan menjadi penyiar rasmi sah untuk Piala Dunia 2026. Dengan temasya bola sepak terbesar dunia akan berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai, ramai masih menantikan apakah bayaran langganan yang akan dikenakan oleh Unifi TV kepada mereka yang ingin menonton.
Misteri mengenai harga ini sedikit terungkai selepas aplikasi Unifi TV mula memaparkan senarai perlawanan yang akan berlangsung sekiranya carian “World Cup” dilakukan. Apabila ditekan, aplikasi mengatakan pelanggan Unifi hanya perlu membayar RM15 sehari atau RM75 untuk Season Pass menonton Piala Dunia.

Mereka yang berminat hanya perlu pergi ke pautan https://unifi.com.my/fifaworldcup2026 untuk melanggan tetapi pada waktu ini laman web ini masih belum beroperasi. Yang menjadi persoalan ialah bila langganan boleh mula dilakukan, adakah tawaran ini hanya untuk pelanggan Unifi dan adakah perlawanan akan ditayangkan pada resolusi 4K.
Siaran Piala Dunia 2026 boleh dinikmati menerusi TV percuma, TV digital MyTV, aplikasi RTM Klik dan Unifi TV. Sebagai penyiar rasmi, kesemua 104 perlawanan akan disiarkan secara langsung menerusi Unifi TV. RTM pula akan menyiarkan sebahagian besar perlawanan secara langsung dan juga tertunda.