Nintendo Switch 2 Dengan Bateri Yang Boleh Diganti Sedang Dibangunkan Untuk Pasaran Eropah
Nazrin
Nintendo baru-baru ini telah mengesahkan bahawa mereka sedang membangunkan konsol Nintendo Switch 2 baru khusus untuk pasaran Eropah yang mana ia akan hadir dengan bateri yang boleh digantikan dengan mudah.
Ini adalah untuk memastikan bahawa konsol-konsol yang dijual di pasaran tersebut akan menuruti undang-undang Kesatuan Eropah yang baru, iaitu Peraturan (EU) 2023/1542 yang mengatakan bahawa bermula 18 Februari 2027, bateri yang dipasang pada produk-produk elektronik tertentu haruslah boleh dibuka dan ditukar dengan mudah oleh pengguna untuk memudahkan lanjutan hayat peranti.

Konsep bateri terbina didalam peranti yang sukar untuk diubah adalah sesuatu yang telah dinormalisasikan untuk terlalu lama, dan bagi pihak Kesatuan Eropah, kemampuan untuk menukar bateri apabila perlu adalah satu cara untuk mengurangkan lambakan sampah elektronik dan melanjutkan hayat penggunaan peranti-peranti, khususnya peranti pintar dan juga konsol-konsol permainan mudah-alih seperti Nintendo Switch 2.
Kelak, model Nintendo Switch 2 yang akan hadir dengan bateri yang boleh ditukar ini akan dilabel dengan nama “OSM” pada kotak konsol tersebut untuk memudahkan pencariannya. Ini juga bermakna bahawa konsol Nintendo Switch 2 model baharu ini akan hadir dengan rekaan yang sedikit berbeza yang memudahkan pertukaran bateri untuk dilakukan, kerana menukar bateri pada Switch 2 sedia ada adalah satu proses yang agak rumit.
Walaupun begitu, buat masa ini ia tidak diketahui lagi bilakah model ini akan diperkenalkan, dan sekiranya ia akan tiba untuk pasaran-pasaran lain selain Eropah.
Sumber: Nintendo