Perlawanan-Perlawanan Bola Sepak Piala Dunia Akan Distrimkan Melalui Aplikasi MyGOV
Nazrin
Pada pertengahan tahun lepas, kerajaan Malaysia melalui Kementerian Digital Malaysia dan syarikat GovTech Malaysia telah memperkenalkan aplikasi MyGOV, yang merupakan sebuah aplikasi sehenti untuk pelbagai perkhidmatan digital kerajaan sedia ada.
Aplikasi MyGOV kini dilaporkan digunakan oleh 2.2 juta rakyat Malaysia untuk mengakses 51 perkhidmatan kerajaan merentas 19 agensi kerajaan melalui satu platform sahaja, termasuklah MySejahtera, MyJPJ, Semakan Harga Barangan Terpilih (PriceCatcher), Portal Manfaat dan juga Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

Terkini, pihak kerajaan juga telah mengumumkan bahawa menjelang acara Piala Dunia yang akan berlangsung tidak lama lagi, aplikasi MyGOV juga akan menjadi salah satu platform penyiaran acara bola sepak global tersebut.
Pengguna yang telah berdaftar dengan MyDigital ID akan dapat menonton secara siaran langsung menggunakan peranti mudah alih masing-masing, melalui platform MyGOV, selain platform siaran sedia ada. Buat masa ini, semakan asas aplikasi MyGOV belum memperlihatkan penawaran ciri siaran tersebut, tetapi jangkaannya ialah aplikasi akan dikemaskini lebih hampir ke tarikh Piala Dunia akan berlangsung, iaitu pada 11 Jun 2026 dalam masa seminggu sahaja lagi.