CEO TSMC Mengatakan Syarikat Masih Tidak Mampu Memenuhi Permintaan Pelanggan
Effi Saharudin
CEO TSMC, C.C. Wei, melakukan pengakuan bahawa syarikat tidak dapat memenuhi permintaan pelanggan untuk beberapa tahun akan datang. Ini berlaku walaupun TSMC telah membuka banyak kilang baharu, kapasiti masih tidak mencukupi untuk permintaan kecerdasan buatan yang semakin meningkat.

Wei menegaskan TSMC tidak akan menaikkan harga secara mendadak yang berbeza dengan pasaran memori demi kestabilan jangka panjang. TSMC masih menjangka pertumbuhan jualan 30% tahun ini walaupun kekangan kapasiti berterusan. Langkah yang diambil ini pastinya menggembirakan pelanggan TSMC berbeza dengan pelanggan Micron, Samsung dan SK Hynix yang terpaksa “bertarung” dan berbelanja besar bagi memastikan bekalan memori tidak terputus.
TSMC mempunyai kilang fabrikasi di TSMC di Arizona tetapi kapasiti pengeluaran sudah habis ditempah sehingga 2027 sejak awal 2025 lagi. Syarikat telah meluluskan suntikan modal $20 bilion untuk mempercepatkan pembinaan Fasa 2 Fab 21. Hasilnya pengeluaran besar-besaran cip 3nm di Arizona dijangka bermula 2027, setahun lebih awal daripada jadual asal 2028.
Permintaan yang tinggi tetapi kapasiti pengeluar yang terhad oleh TSMC ini memberikan peluang kepada Samsung dan Intel untuk mendapatkan pelanggan. Apple misalnya dilaporkan menggunakan kilang Intel untuk cip mereka dan Tesla pula menggunakan kilang Samsung bagi memenuhi permintaan pengeluaran mereka.
Sumber – Bloomberg