Meta Perkenalkan Creator Assistant – Bantu Pencipta Kandungan Dapatkan Idea Baharu
Amy Maizuraa
Meta telah memperkenalkan Creator Assistant di Facebook iaitu chatbot berkuasa kecerdasan buatan (AI) yang direka khas untuk membantu pengguna khususnya pencipta kandungan. Ia berfungsi dengan menjawab soalan dan memberikan pandangan melalui mesej sekali gus memudahkan mereka memahami prestasi serta mendapatkan idea baharu terus daripada papan pemuka.

Creator Assistant membolehkan pencipta kandungan mengajukan apa sahaja soalan berkaitan prestasi mereka dan menerima panduan khusus berdasarkan komuniti masing-masing. Ia juga boleh memberikan nasihat serta tips yang disesuaikan untuk membantu pengguna meningkatkan kandungan di Facebook dan Instagram. Selain itu, ia turut belajar daripada pengalaman penggunaan sekali gus menambah baik cadangan dan panduan yang diberikan dari semasa ke semasa.

Buat masa ini, Creator Assistant sedang dilancarkan kepada pencipta kandungan yang layak di Amerika Syarikat, Kanada dan India. Untuk menyemak akses, pengguna boleh membuka papan pemuka dalam aplikasi mudah alih Facebook. Jika tersedia, Creator Assistant akan dipaparkan di situ. Jika belum, jangan bimbang kerana ia akan diperluaskan kepada lebih ramai pengguna dan rantau lain dalam minggu-minggu akan datang.