Filem Animasi Nirnama Dijangka Ditayangkan Pada 2029
Aman
Wau Animation dan Hilal Asyraf hari ini secara rasminya berkongsi lanjut berkenaan kerjasama kedua-dua pihak dalam menerbitkan animasi Nirnama. Kedua-dua pihak mengesahkan yang mana animasi Nirnama akan diterbitkan dalam bentuk filem, dan bukan bersiri. Namun, dalam usaha untuk mempromosikannya pada peringkat awal, mungkin siri mini diterbitkan untuk Nirnama.


Animasi Nirnama ini akan dihasilkan dalam bentuk 3D, selari kepakaran Wau Animation yang sedia menghasilkan siri Ejen Ali dalam bentuk 3D sebelum ini. Animasi Nirnama ini akan mengambil latar masa berdasarkan kepada novel pertama Nirnama, dan filem animasi Nirnama akan diterbitkan dalam bentuk trilogi.


Berkongsi mengenainya kepada Amanz, Wau Animation mengatakan mereka menyasarkan untuk menerbitkan filem animasi Nirnama ini pada 2029, setahun selepas filem animasi Ejen Ali 3. Namun, ini perancangan awal, dan mungkin terdapat beberapa perubahan berdasarkan kepada pembangunan animasi. Seterusnya, filem animasi Nirnama kedua dan ketiga dijangka diterbitkan dalam jangka masa sekitar selang dua tahun selepas filem animasi pertama.