Huawei MatePad Pro Max Dijual Di Malaysia Pada Harga RM5999
Amy Maizuraa
Huawei hari ini turut memperkenalkan tablet baharu MatePad Pro Max ke pasaran Malaysia. Tablet ini hadir dengan saiz yang besar namun masih mengekalkan profil yang nipis dan elegan.

Huawei memasarkan MatePad Pro Max sebagai antara tablet bersaiz besar yang nipis dan ringan. Ia hadir dengan ketebalan hanya 4.7mm bersama bezel nipis 3.55mm yang menempatkan kamera hadapan 12MP. Berat keseluruhan tablet ini sekitar 499 gram bagi menjadikannya mudah dibawa ke mana-mana tanpa mengorbankan gaya atau fungsi.



Skrin berukuran 13.2 inci digunakan hadir dengan panel Flexible OLED 3K, kadar segar semula 144Hz serta kecerahan puncak 1600 nits. Ia turut ditawarkan dengan pilihan kemasan anti-silau PaperMatte. Tiada maklumat mengenai cip pemproses namun tablet ini disertakan dengan memori 12GB RAM dan storan dalaman 256GB. Kapasiti baterinya pula ialah 10,400mAh dengan sokongan pengecasan pantas 66W.

Huawei MatePad Pro Max dijual di Malaysia pada harga RM5999. Pratempahan bermula hari ini dengan hadiah menarik bernilai sehingga RM3154 termasuk Huawei M-Pencil Pro.
