Gemini 3.5 Live Translate Boleh Melakukan Alih Bahasa Perbualan Secara Masa Nyata
Effi Saharudin
Google melancarkan model Gemini 3.5 Live Translate yang memberikan kemampuan melakukan alih bahasa perbualan dalam masa nyata. Ia menyokong lebih 70 bahasa dengan ia direka untuk melakukan terjemahan yang lebih lancar, semula jadi, dan selari dengan perbualan yang dilakukan.

Gemini 3.5 Live Translate tidak menunggu ayat selesai sebelum alih bahasa dilakukan seperti model-model sebelumnya. Ia melakukan terjemahan secara berterusan, hanya beberapa saat di belakang penutur Ini menghasilkan audio lebih lancar tanpa jeda janggal apabila menggunakan aplikasi alih bahasa. Pada waktu yang sama ia turut boleh melakukan tugas dalam kawasan dengan persekitaran yang bising.
Ini menjadikannya model yang digunakan bagi keperluan penstriman audio masa nyata untuk panggilan suara, kelas atas talian, siaran langsung, dan mengalih bahasa beberapa bahasa dalam satu sesi.
Antara syarikat yang sudah menguji Gemini 3.5 Live Translate ialah Grab dengan ia membolehkan panggilan suara dilakukan antara pelanggan dan pemandu dilakukan walaupun mereka tidak menggunakan bahasa yang sama.
Google Translate kini telah mula dikemaskini menggunakan Gemini 3.5 Live Translate di Android dan iOS. Alih bahasa boleh dilakukan dengan hanya meletakkan telefon ke telinga untuk mendengar alih bahasa secara terus tanpa memerlukan fon telinga atau fon kepala seperti sebelum ini.