LinkedIn Perkenalkan ‘Creator Marketplace’ – Hubungkan Jenama Dan Pencipta Kandungan
Amy Maizuraa
LinkedIn dilihat sedang memposisikan sebagai platform pencipta kandungan yang menekankan kepakaran dalam segmen B2B (perniagaan ke perniagaan). Pada masa yang sama, ia turut memperluas peluang penjanaan hasil sambil mengukuhkan peranan dalam ekosistem kecerdasan buatan (AI).

Terbaharu, LinkedIn telah melancarkan ‘Creator Marketplace’ iaitu bahagian baharu dalam platform iklan yang membolehkan jenama mencari pencipta kandungan relevan mengikut sektor dan sasaran penonton. Dengan cara ini, jenama dapat bekerjasama secara lebih mudah dengan pencipta yang mempunyai kepakaran khusus bukan sekadar pencapaian capaian besar.
Difahamkan bahawa LinkedIn memilih jalan yang berbeza daripada pesaingnya. Jika YouTube, Meta atau TikTok lebih menekankan capaian besar, LinkedIn pula membina identiti sebagai ruang di mana pencipta boleh memperlihatkan kepakaran dan kepercayaan dalam topik B2B yang khusus. Keunikan ini menjadikan LinkedIn bukan sekadar tentang jumlah tontonan tetapi tentang nilai serta reputasi profesional yang dibawa oleh setiap pencipta.

Bagi komuniti pencipta di LinkedIn, peluang yang tersedia juga lebih luas. Mereka bukan sahaja boleh mendapatkan pendapatan melalui perkongsian kandungan berbayar tetapi turut berpotensi dijemput berucap di pentas, dilantik sebagai penasihat dan terlibat dalam projek kerjasama profesional yang membuka pintu kepada hubungan serta pengalaman baharu.
LinkedIn turut menekankan bahawa trend pasaran kini banyak dipengaruhi oleh generasi milenial dan Gen Z, yang lebih cenderung mempercayai suara pencipta berbanding saluran tradisional. Malah, menurut mereka mata wang paling berharga pada masa ini ialah kepercayaan.

Oleh itu, LinkedIn mengambil beberapa langkah penting. Mereka akan melancarkan rancangan video asal bersama pencipta perniagaan terkenal, memperkenalkan program BrandLink untuk iklan video dalam kandungan penerbit dan pencipta, serta merancang produk penjanaan hasil baharu termasuk langganan, acara dan aktiviti eksklusif berbayar.
Sumber – LinkedIn