Instagram Meluaskan Fungsi “Your Algorithm” Ke Bahagian Suapan Utama
Amy Maizuraa
Fungsi “Your Algorithm” yang sebelum ini tersedia pada Reels dan Explore kini diperluas ke suapan utama (Main Feed). Melaluinya, pengguna boleh melihat senarai topik yang dikenal pasti oleh sistem berdasarkan aktiviti dalam aplikasi. Senarai berkenaan boleh diubah dengan menambah topik yang diminati atau membuang topik yang tidak relevan. Setiap perubahan akan membantu sistem menyesuaikan semula algoritma agar lebih selari dengan minat pengguna.

Ketua Instagram, Adam Mosseri menjelaskan bahawa langkah ini penting kerana sebelum ini suapan utama kerap dipenuhi cadangan daripada akaun yang tidak diikuti. Cadangan tersebut berkesan untuk mengekalkan pengguna lebih lama dalam aplikasi, namun pada masa yang sama mengurangkan keupayaan pengguna untuk mengawal pengalaman mereka. Dengan fungsi ini, pengguna kini boleh menyatakan semula kepada sistem tentang kandungan yang ingin dilihat. Ciri ini turut memberikan lebih banyak kawalan kepada pengguna untuk membentuk pengalaman sendiri tanpa bergantung sepenuhnya pada pilihan algoritma.

Mosseri turut menegaskan bahawa ini hanyalah permulaan. Selepas topik, pengguna berkemungkinan dapat membuat pilihan berdasarkan suasana, jenis kandungan dan aspek lain. Matlamat utama adalah untuk memberikan lebih banyak kawalan kepada pengguna sambil mengekalkan pengalaman bersama yang menjadi daya tarikan utama media sosial.
Sumber – Adam Mosseri