WhatsApp Sedang Membangunkan Langganan Premium Meta AI
Amy Maizuraa
WhatsApp sedang membangunkan pelan langganan berbayar Meta One yang boleh diakses terus melalui aplikasi Android. Meta One ialah perkhidmatan baharu daripada Meta yang menggabungkan semua ciri premium daripada platform utama mereka ke dalam satu pakej tunggal.
Dengan satu langganan, pengguna boleh menikmati kelebihan premium di WhatsApp, Instagram, Facebook dan Meta AI tanpa perlu melanggan secara berasingan. Ia juga menjadi tambahan kepada pelan WhatsApp Plus yang sedia ada.

Dua pelan langganan Meta One kini ditawarkan oleh WhatsApp. Pelan pertama ialah Meta One Plus dengan harga €6.99 (~RM33) sebulan dan termasuk percubaan percuma selama sebulan. Ia memberi tumpuan kepada pengalaman Meta AI dengan menyediakan kuota AI bulanan yang lebih besar, kemampuan analisis yang lebih pintar serta alat tambahan untuk mencipta imej dan video, selain turut merangkumi WhatsApp Plus.

Sementara itu, Meta One Premium berharga €20.99 (~RM99) sebulan dan juga mungkin menawarkan percubaan percuma selama sebulan. Pelan ini menawarkan keupayaan lebih tinggi bagi pemprosesan kompleks, selain menyediakan lebih banyak kredit imej dan video serta akses AI bulanan yang lebih luas. Dengan kata mudah, Meta One Premium ialah pelan langganan yang ditujukan kepada pengguna yang mahukan prestasi AI terbaik.

Sekarang, WhatsApp sudah mempunyai bahagian Langganan (Subscriptions) di bahagian atas tetapan aplikasi untuk pengguna yang melanggan WhatsApp Plus. Buat masa ini, ia hanya digunakan untuk mengurus langganan WhatsApp Plus. Namun, pada masa akan datang WhatsApp akan menambah terus pelan Meta One Plus dan Meta One Premium ke dalam bahagian ini.
Seterusnya, Meta One Plus, Meta One Premium dan WhatsApp Plus hanyalah pilihan tambahan. WhatsApp kekal percuma untuk semua pengguna, sama ada mereka melanggan atau tidak. Fungsi asas seperti mesej, panggilan dan ciri privasi tetap sama untuk semua. Senang kata, pelan langganan ini tidak ubah pengalaman pengguna biasa, cuma menambah ciri premium bagi yang mahukannya.
Buat masa ini, langganan Meta One ini masih dalam pembangunan. WhatsApp juga masih belum mengumumkan tarikh rasmi pelancarannya.
Sumber – WABetaInfo