HONOR Magic V6 — Jambatan Antara Dua Ekosistem
Amy Maizuraa
Selama ini, pengguna Apple dan Android seolah-olah hidup dalam dua ekosistem berbeza. Jika sudah terbiasa dengan iPhone, memang terasa janggal untuk beralih kepada Android. Namun dengan kemajuan teknologi, jurang antara kedua-dua dunia ini semakin mengecil dan pengalaman penggunaan kini lebih mudah disesuaikan.

HONOR Magic V6 ialah contoh jelas bagaimana integrasi pintar mampu menjadikan peralihan lebih lancar tanpa mengorbankan keselesaan yang sudah biasa dinikmati. Ia membuka ruang untuk menggunakan kedua-dua ekosistem dalam satu rutin harian yang lebih bebas sekali gus menjadikan pengalaman teknologi lebih menyeluruh.
Akses iCloud Secara Mudah
Sebelum ini, iCloud biasanya hanya diakses melalui iPhone atau Mac. Kini, HONOR Magic V6 menawarkan pilihan tambahan untuk mengurus fail dengan lebih mudah. Melalui aplikasi Files, pengguna boleh memilih iCloud, memuat turun pemalam, dan log masuk menggunakan Apple ID. Selepas itu, fail yang disimpan di iCloud dapat diakses terus daripada HONOR Magic V6 tanpa perlu bergantung sepenuhnya pada peranti lain.

Fungsi ini mengekalkan pengalaman yang biasa dirasai oleh pengguna Apple. Gambar beresolusi tinggi boleh dibuka tanpa kehilangan kualiti, dokumen kerja boleh disunting dengan mudah tanpa perlu bergantung kepada komputer riba dan video pula boleh dimainkan seperti biasa. Semua ini boleh dilakukan terus daripada telefon, menjadikan penggunaan HONOR Magic V6 lebih praktikal untuk mereka yang sudah terbiasa dengan ekosistem Apple. Ia memastikan peralihan antara peranti lebih lancar tanpa mengorbankan keselesaan yang pengguna sudah kenal.

Bagi pengguna setia produk Apple, peralihan ke HONOR Magic V6 terasa semula jadi kerana antara muka aplikasi Files direka agar mudah difahami dan digunakan. Pengguna boleh menyusun fail dengan teratur serta mencari dokumen dengan cepat, sementara pengurusan fail dilakukan dengan cara yang hampir sama seperti di iPhone. Pendekatan ini membantu pengguna menyesuaikan diri dengan lebih mudah tanpa perlu mengambil masa yang panjang untuk memahami cara baharu, menjadikan pengalaman penggunaan lebih lancar dan konsisten.

HONOR Magic V6 menjadikan pengurusan fail lebih bebas dan efisien. Sama ada fail kerja, gambar peribadi atau video penting, semuanya boleh diakses di mana sahaja tanpa bergantung kepada satu jenis peranti. Fungsi ini berguna bagi mereka yang menggunakan kedua dua ekosistem dalam kehidupan seharian kerana mereka boleh bekerja di MacBook dan pada masa yang sama menggunakan telefon Android. Dengan cara ini, rutin harian menjadi lebih produktif tanpa sekatan platform.

Perkongsian Fail Dengan Sekali Tap
Bayangkan anda sedang sibuk di tempat kerja dan perlu menghantar fail penting kepada rakan sekerja. Kebiasaannya, kita akan menggunakan WhatsApp atau Telegram dan menunggu proses muat naik serta muat turun selesai. Ada juga yang memilih untuk menyambungkan kabel bagi memindahkan data. Semua cara ini mengambil masa dan kadangkala boleh mengganggu kelancaran kerja.

Dengan HONOR Magic V6, perkongsian fail menjadi lebih mudah melalui fungsi Sekali Tap. Hanya satu tindakan diperlukan untuk menghantar fail atau gambar terus ke komputer riba atau telefon rakan. Prosesnya ringkas, pantas dan tidak memerlukan langkah tambahan yang rumit. Pengguna iPhone boleh memasang aplikasi HONOR Connect secara percuma dari App Store, manakala pengguna MacBook pula boleh menggunakan HONOR WorkStation yang tersedia di laman rasmi honor.com. Apabila semua peranti berada pada rangkaian WiFi yang sama, fail dapat dikongsi dengan cepat dan lancar.

Ciri ini membantu meningkatkan kecekapan kerja serta memudahkan kerjasama antara rakan sekerja. HONOR Magic V6 direka untuk memudahkan komunikasi antara sistem yang berbeza tanpa menjejaskan keserasian. Walau bagaimanapun, ia bukan bertujuan menggantikan ekosistem lain, sebaliknya memberi lebih banyak pilihan dan kebebasan kepada pengguna supaya mereka dapat bekerja dan berkongsi dengan lebih mudah.
Magic Ring – Sambungan Skrin

Ingin kelihatan lebih profesional semasa bekerja? Gunakan dua skrin. Walaupun kedengaran seperti gurauan, cara ini sebenarnya membantu meningkatkan kecekapan kerja. Dengan HONOR Magic V6, telefon ini boleh dijadikan skrin kedua untuk komputer riba atau MacBook. Dalam erti kata lain, ia berfungsi sebagai monitor tambahan yang memudahkan pengguna menyusun tugasan harian dengan lebih teratur dan efisien. Oleh itu, pengalaman bekerja menjadi lebih lancar dan produktif.

Proses penyediaan fungsi ini juga mudah. Mula-mula pasang aplikasi HONOR WorkStation pada komputer riba, kemudian pastikan kedua-dua peranti disambungkan pada rangkaian WiFi yang sama. Seterusnya buka aplikasi tersebut, pilih HONOR Magic V6 di bawah menu Magic Ring dan tekan pilihan Screen Extension. Dalam masa yang singkat, skrin telefon akan bertukar menjadi paparan tambahan. Komputer riba akan mengesan sambungan secara automatik dan pengguna hanya perlu memilih mod Extended Display untuk mula menggunakan fungsi ini.

Sebagai contoh, ketika melakukan kerja penyuntingan gambar, komputer riba digunakan untuk menjalankan perisian utama manakala HONOR Magic V6 berfungsi sebagai skrin pratonton untuk melihat hasil akhir. Kaedah ini membantu kerja menjadi lebih teratur serta membolehkan pengguna menyiapkan tugasan dengan lebih efisien tanpa memerlukan peralatan tambahan.

Akses Fail Terus Melalui MacBook
Satu lagi ciri yang memudahkan urusan kerja ialah keupayaan untuk mengakses semua fail dalam HONOR Magic V6 terus melalui MacBook. Telefon ini berfungsi seperti storan luaran, membolehkan pengguna melihat, menyalin dan mengurus fail tanpa perlu menyambungkan kabel. Proses penyediaannya juga mudah.

Mula-mula pasang aplikasi HONOR WorkStation pada komputer riba, kemudian pastikan kedua-dua peranti berada pada rangkaian WiFi yang sama. Seterusnya buka aplikasi tersebut, pilih HONOR Magic V6, dan semua direktori serta fail dalam telefon akan dipaparkan di Finder. Dengan cara ini, pengguna boleh mengalih, menyalin atau membuka fail dengan lebih cepat dan teratur, sekaligus menjadikan kerja harian lebih lancar dan efisien.
Sokongan AirPods

Satu lagi ciri menarik ialah HONOR Magic V6 kini boleh disambungkan terus dengan AirPods. Jika sebelum ini pengguna menghadapi kesukaran untuk memasangkan AirPods dengan peranti Android, kini masalah tersebut tidak lagi timbul. Apabila pod pengecas AirPods dibuka, tetingkap pop-up akan muncul pada skrin HONOR Magic V6. Tekan pilihan Connect dan sambungan akan dilakukan serta-merta.

Selepas disambungkan, pengguna boleh melihat tahap bateri setiap fon telinga, melaras bunyi serta menukar antara mod Active Noise Cancellation dan Transparency Mode terus daripada telefon HONOR. Jika AirPods tersalah letak, fungsi Find My pada HONOR Magic V6 boleh digunakan untuk mengesannya dengan cepat.

Menariknya, terdapat juga ciri Automatic Ear Detection. Apabila fon telinga ditanggalkan, audio akan dijeda secara automatik dan apabila dipakai semula, mainan audio bersambung dengan lancar. Semua ini berlaku secara semula jadi dan menjadikan pengalaman mendengar lebih mudah serta selesa seolah‑olah peranti memahami gerak pengguna.

Notifikasi Dua Hala Tanpa Gangguan
HONOR Magic V6 hadir dengan kelebihan “Two Way Notification Sync” iaitu notifikasi dua hala tanpa gangguan yang membolehkan mesej daripada iPhone dan Apple Watch diterima terus dalam peranti ini. Fungsi ini memastikan interaksi antara peranti lebih teratur dan menyeluruh sekali gus memberikan pengalaman penggunaan yang lebih lancar serta praktikal.
Pengguna tidak lagi perlu menukar telefon semata-mata untuk menyemak mesej, panggilan atau peringatan kerana semuanya boleh diurus dari satu tempat. HONOR Magic V6 berfungsi sebagai pusat kawalan utama menggabungkan notifikasi daripada pelbagai ekosistem dalam satu paparan yang ringkas dan efisien.

Proses penyediaan juga mudah. Buka aplikasi HONOR Connect pada telefon lain dan tekan Connect untuk memaparkan kod QR. Dalam HONOR Magic V6, pergi ke Settings, pilih HONOR Connect, tekan Connect with iPhone, kemudian pilih Scan to Add. Imbas kod QR yang dipaparkan dan tekan Pair untuk menyambungkan peranti. Selepas itu, aktifkan Connected Notifications dalam iPhone dan pelarasan berlaku serta‑merta tanpa konfigurasi tambahan.
Notifikasi daripada Apple Watch turut disesuaikan secara automatik melalui iPhone untuk memastikan setiap mesej dan peringatan diterima tepat pada waktunya. Ciri ini memperlihatkan HONOR Magic V6 sebagai pusat kawalan utama dengan integrasi pintar yang memastikan maklumat penting sentiasa berada dalam capaian pengguna.
Beli Sekarang, Dapat TV Percuma!

Jadi, itulah antara perkara menarik yang hadir bersama peningkatan ekosistem HONOR kali ini. Jika dilihat secara menyeluruh, kewujudan semua fungsi ini sebenarnya bertujuan untuk memudahkan urusan harian serta memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna. Jika anda ingin merasai sendiri kehebatannya, anda boleh mencuba HONOR Magic V6 yang kini ditawarkan pada harga bermula RM7,699 di Malaysia. Lebih istimewa, buat pertama kalinya HONOR memperkenalkan versi 1TB bagi kapasiti storan paling besar. Selain itu, jika anda membuat pratempahan sekarang, anda akan menerima TV percuma sebagai hadiah eksklusif!
Penafian: Advertorial ini dibawakan oleh Honor Malaysia.