Electronic Arts Umumkan Platform Pengiklanan Dalam Permainan Video
Effi Saharudin
Buka Instagram nampak iklan. Buku YouTube nampak iklan. Buka App Store nampak juga iklan. Hakikatnya kita sedang diserang iklan sepanjang masa dan untuk mengelakkan diri saya akan menghabiskan masa dalam permainan video kerana ia lazimnya tiada iklan. Tetapi era ini akan berakhir kerana Electronic Arts telah melancarkan EA Advertising sebagai platform pengiklanan dalam permainan video.

EA Advertising ialah platform untuk menghubungkan jenama terus ke dalam permainan video, dan ekosistem permainan EA yang luas. Matlamatnya menurut EA ialah bagi membolehkan jenama muncul secara asli, interaktif, dan tidak mengganggu pengalaman pemain. Dengan permainan yang dibangunkan oleh EA dimainkan lebih 120 juta pemain sebulan, iklan dapat disasarkan kepada pengguna dengan tepat oleh jenama.
Ini dilakukan dengan ruang iklan yang dinamik. Ia berubah mengikut negara, lokasi dan citarasa pemain. EA sudah lama menjual iklan dalam permainan video seperti Cingular dalam siri NFS dan Adidas dalam siri FIFA. Selama ini ia kekal dan tidak boleh berubah. Selepas ini jangan terkejut jika iklan Kaki Jersi, Asadi atau Al Ikhsan muncul dalam permainan EA Sports FC.