Midjourney Akan Melancarkan Peranti Fizikal Esok
Effi Saharudin
Dalam banyak-banyak model kecerdasan buatan (AI) generatif, Midjourney mungkin sedikit dilupakan berbanding Gemini dan ChatGPT. Ia bergerak secara sendiri di latar dengan pengumuman model baharu pula tidak begitu kerap. Tetapi awal pagi tadi, akaun Midjourney mengesahkan syarikat akan mengumumkan projek peranti fizikal pertama mereka.

Projek ini masih lagi misteri kerana tiada sebarang maklumat mengenainya tertiris sebelum ini. Wujud spekulasi ia adalah sebuah komputer atau tablet yang boleh menjalankan Midjourney secara terus. Ini adalah anjakan paradigma daripada Midjourney yang pada ketika ini diakses menggunakan pelayar web dan Discord.
CEO Midjourney, David Holz sebelum ini mengesahkan syarikat sedang membangunkan peranti fizikal. Sebelum mengasaskan Midjourney, beliau mengasaskan syarikat Leap Motion yang menghasilkan peranti berinteraksi dalam dunia AR dan VR. Oleh sebab itu wujud juga spekulasi perkakasan fizikal pertama mungkin set kepala yang membolehkan gambar dan video dijana oleh Midjourney kemudiannya dilihat dalam dunia maya.
Apa yang akan dilancarkan Midjournye akan hanya terjawab esok.