Qualcomm Umum Platform Snapdragon Reality Elite dan START Untuk Peranti AI
Effi Saharudin
Qualcomm mengumumkan dua platform baharu yang dibangunkan khusus untuk cermin mata pintar dan set kepala realiti terimbuh (XR). Kedua-dua platform akan menjadi asas kepada lebih 40 peranti kecerdasan buatan (AI) boleh-pakai yang akan dilancarkan tahun ini menurut CEO Cristiano Amon.

Dua platform ini adalah Snapdragon Reality Elite untuk cermin mata XR generasi baharu dan START (Scalable Turnkey AI‑Ready Toolkit) untuk cermin mata pintar dengan kemampuan AI. Snapdragon Reality Elite ialah penambahbaikan daripada platform Snapdragon XR sebelum ini dengan cip memberikan peningkatan GPU lebih 60%, CPU lebih 30% dan NPU lebih 160% Peranti dengan Reality Elite boleh menjalankan model AI 3B parameter terus daripada peranti.

Ia turut menyokong resolusi 4.4K untuk setiap mata dengan kadar bingkai 90 FPS. Turut disertakan sekali ialah peningkatan kemampuan penjejakam kepala dan tangan. Snapdragon Reality Elite menyasarkan penggunaan pada set kepala video tembus VST dan cermin mata dengan skrin terbina OST. Peranti terawal menggunakan cip ini ialah XREAL Project Aura.

START pula ialah platform menggabungkan cip AR, platform perisian, aplikasi, dan program untuk mempercepatkan pembangunan peranti AI boleh-pakai. Ia digunakan pada cermin mata pintar dengan audio sahaja, dengan skrin di satu mata atau dengan skrin di kedua-dua mata. Dua syarikat yang mengesahkan akan menggunakan SMART ialah Inspecs dan O’Neill (TitanFlex).
Cermin mata pintar dilihat sebagai peranti yang akan menggantikan telefon pintar dalam masa terdekat. Oleh itu penawaran dua platform ini akan memberikan Qualcomm kelebihan berbanding pesaing mereka. Cermin mata Google Intelligent Eyewear dengan AndroidXR sudahpun disahkan menggunakan cip Qualcomm sebelum ini.