Android 17 Dilancarkan Secara Rasmi – Ini 10 Ciri Baharu Paling Menarik
Effi Saharudin
Google melancarkan Android 17 versi akhir kepada umum pagi ini dengan ia terlebih dahulu diterima pada peranti-peranti Pixel yang layak. Selepas beberapa minggu ujian Beta terbuka ditawarkan, versi akhir yang stabil boleh dimuat turun menerusi kemas kini OTA. Dengan versi akhir sudah tiba, ini adalah 10 ciri baharu paling menarik yang diperkenalkan
1.App Bubble dan Bubble Bar

Proses multitugas aplikasi menjadi lebih mudah kerana apabila yang tidak dibuka kini dipaparkan dalam “gelembung” bulat di bawah skrin. Ia sentiasa dipaparkan memudahkan pertukaran pantas antara peranti dilakukan oleh pengguna. Era perlu menekan butang multi tugas atau tatal sisi beberapa kali untuk menukar aplikasi kini berakhir. Pada peranti skrin besar seperti tablet dan peranti skrin lipat, Bubble Bar diperkenalkan dengan ia disusun selari dengan Taskbar di bahagian bawah skrin.
2.Mod Gelap Di Semua Aplikasi

Menerusi Android 17, mod gelap boleh diaktifkan di semua aplikasi walaupun ia tidak disokong oleh pembangun menerusi Expanded Dark Theme. Sekiranya aplikasi tidak serasi atau kelihatan aneh dalam mod gelap, Android 17 membenarkan ciri ini dimatikan mengikut aplikasi dalam tetapan sistem operasi.
3.Label Ikon Aplikasi Boleh Dibuang

Android 17 membenarkan label yang diletakkan di bawah ikon aplikasi kini boleh dibuang. Selama ini ciri ini disokong pada pelancar Android seperti One UI tetapi tidak pada Android asal. Dengan nama aplikasi boleh dibuang, muka hadapan skrin nampak lebih kemas khususnya bagi mereka yang lebih gemar hanya memaparkan ikon aplikasi.
4.Menetapkan Semula Butang Alat Kawalan Permaian (Remapping)
Butang alat kawalan permainan yang disambung kepada sebuah peranti Android 17 boleh ditetapkan semula (remapping). Dengan ini permua yang memberikan tetapan lalai yang tidak mesra pengguna boleh diubah mengikut keselesaan pengguna. Ciri baharu ini boleh diakses menerusi menu baharu Game Controller.

5.Mod Gaming Pada Peranti Skrin Lipat

Android 17 turut memperkenalkan Foldable Gaming Mode pada peranti skrin lipat. Bahagian atas skrin lipat akan memaparkan grafik permua sementara skrin di bawah pula memaparkan butang kawalan permua. Paparan grafik butang kawalan ini berubah mengikut permainan yang sedang dimainkan. Dengan ia disertakan terus di tahap sistem operasi, mod ini boleh digunakan tanpa perlu dilakukan oleh OEM.
6. Mod Anti Curi Dipertingkatkan

Pada Android 16, ciri telefon dikunci secara automatik apabila mengesan ia diragut telah diperkenalkan. Apabila diaktifkan, nombor pin, corak kunci atau kata laluan skrin kunci perlu dimasukkan untuk kembali menggunakan peranti. Pada Android 17, ciri ini dipertingkatkan lagi dengan mengurangkan jumlah percubaan meneka nombor pin, corak kunci dan kata laluan. Selepas gagal beberapa kali, waktu menunggu diperkenalkan.
Peranti yang memasuki mod ‘Mark as lost’ dalam FInd Hub kini memerlukan pengesahan nyahkunci sebelum boleh digunakan semula. Dengan ini walaupun jika peranti dicuri/diakses oleh individu yang tahu nombor pin, corak kunci atau kata laluan anda, mereka masih tidak boleh mengakses kandungan telefon.
7.Screen Reactions

Screen Reactions membolehkan rakaman reaksi dilakukan menggunakan Screen Recorder. Kandungan skrin dirakam serentak dengan kamera hadapan. Ini membolehkan video reaksi seakan TikTok yang popular boleh dilakukan terus menggunakan Screen Recorder tanpa memerlukan aplikasi pihak ketiga. Video daripada kamera hadapan boleh diubah lokasi dan saiz mengikut keperluan pengguna.
8. Menyambung Semula Sambungan Bluetooth Terputus Secara Automatik

Fon telinga Bluetooth mempunyai jarak sambungan sekitar 10 meter. Apabila melebihi jarak ini, sambungan akan mula tergendala sebelum terputus sepenuhnya. Biasanya apabila fon telinga terputus, anda perlu kembali ke menu Bluetooth untuk melakukan sambungan semula.
Pada Android 17, sambungan akan dilakukan semula secara automatik tanpa peranti dan aksesori BT kembali mengesan satu sama lain. Saya sudah menguji ciri ini pada Pixel 9 Pro XL dan ia berfungsi seperti dijanjikan. Sejurus selepas Pixel Buds 2 Pro kembali dalam lingkungan tambatan BT Pixel 9 Pro XL, ia kembali ditambat secara automatik.
9. Continue On

Peranti Android 17 akan menerima ciri baharu Continue On yang membolehkan kerja yang dilakukan pada satu peranti diteruskan pada sebuah lagi peranti Android 17. Ini mirip ciri Handoff pada peranti Apple.
Antara kerja yang boleh disambung rentas peranti kelak ialah menonton video, membaca artikel di laman web, menulis mesej dan menyunting dokumen. Ini adalah berguna bagi mereka yang memulakan kerja di telefon tetapi ingin meneruskannya pula pada sebuah tablet atau Googlebook.
Apabila mengesan peranti berhampiran dengan aplikasi dibuka, sebuah Googlebook atau tablet akan memaparkan ikon saranan aplikasi dibuka. Proses memindahkan kerja yang sedang dilakukan akan berlaku dengan pantas sejurus selepas ikon ditekan,
10.Pause Point

Android 17 memperkenalkan Pause Point yang diaktifkan apabila anda membuka sesuatu aplikasi yang dilabel sebagai membazirkan masa oleh pemilik peranti. Ia mungkin Facebook, Instagram, X, YouTube atau Mobile Legends Bang Bang. Pause Point memberikan tempoh 10 saat untuk menunggu dan bertanya soalan kenapa anda perlu membuka aplikasi berkenaan.
Dengan Pause Point isu membazirkan masa dalam aplikasi tidak berfaedah atau percubaan untuk mengurangkan penggunaan peranti kerana ketagihan skrin dapat diperangi sendiri oleh pemilik.