SanDisk Memperkenalkan SSD 8TB Yang Dijual Pada Harga Lebih Mahal Daripada PlayStation 5 Pro
Nazrin
Konsol permainan video Sony PlayStation 5 secara lazimnya hadir dengan storan SSD terbina yang tidak begitu besar, kecuali untuk konsol Sony PlayStation 5 Pro yang hadir dengan storan sebanyak 2TB. Tetapi bagaimanakah jika anda memerlukan jumlah storan yang jauh lebih besar berbanding dengan penawaran sedia ada?

SanDisk baru-baru ini telah memperkenalkan storan SSD terbaru mereka, iaitu SanDisk Optimus GX Pro 850P yang dibina khusus untuk konsol permainan Sony PlayStation 5 dan Sony PlayStation 5 Pro. Ia merupakan penjenamaan semula daripada siri storan WD_Black sebelum ini dibawah jemama Western Digital yang kini telah beralih kepada pengeluaran storan cakera keras sahaja.

Malah, jika mengikut nama model baru yang diperlihatkan, model Optimus GX Pro 850P ini dilihat menyerupai nama model WD_Black SN850X. Dari segi penawaran saiz storan pula, siri SSD ini hadir dengan pilihan 1TB, 2TB, 4TB dan 8TB. Storan SSD ini hadir dengan kadar pembacaan dan penulisan data 7,300MB/s dan 6,300MB/s dan hadir dnegan bongkah penyejuk terbina untuk membantu mengalirkan haba dari komponen-komponen cip storan yang terbina pada SSD ini.
SanDisk juga telah memperlihatkan tanda harga storan SSD SanDisk Optimus GX Pro 850P ini, dan bergantung kepada pilihan saiz storan, tanda harganya dilihat agak tidak masuk akal kerana walaupun dalam matawang USD, harga pilhian storan 8TB berkali ganda berbanding dengan sebuah konsol Sony PlayStation 5 Pro. Ia kini diperlihatkan untuk beberapa pasaran terpilih, dan tidak diketahui lagi bilakah akan memasuki pasaran tempatan.
- SanDisk Optimus GX Pro 850P (1TB) – $379.00 (~RM1560)
- SanDisk Optimus GX Pro 850P (2TB) – $759 (~RM3116)
- SanDisk Optimus GX Pro 850P (4TB) – $1499 (~RM6155)
- SanDisk Optimus GX Pro 850P (8TB) – $2595 (~RM12,154)