Edits Dikemaskini Dengan Fungsi “AI Restyle” — Mudahkan Suntingan Klip Guna Arahan Teks
Amy Maizuraa
Edits kini hadir dengan fungsi baharu berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang dinamakan AI Restyle. Melalui ciri ini, pengguna boleh mengubah gaya atau elemen dalam klip video mereka hanya dengan menaip arahan teks ringkas.

Sebagai contoh, pengguna boleh menulis “tukar latar belakang jadi malam” atau “ubah teks kepada gaya neon” dan AI akan menyesuaikan hasil suntingan klip mengikut arahan tersebut tanpa memerlukan proses manual yang rumit. Dengan cara ini, proses suntingan dapat dilakukan dengan lebih mudah kerana pengguna tidak perlu melalui teknik penyuntingan yang rumit untuk menghasilkan perubahan tertentu pada klip.

Lebih menariknya lagi, fungsi AI Restyle ini turut hadir bersama beberapa penambahbaikan lain yang melengkapkan ekosistem Edits. Antaranya ialah kebolehan mengeksport video sehingga 15 minit berbanding had sebelum ini sekali gus memberi ruang kepada pengguna menghasilkan kandungan lebih panjang tanpa perlu memecahkannya kepada beberapa bahagian.

Pada masa yang sama, analitik turut diperluas dengan kemampuan membandingkan prestasi sehingga tiga klip Reels secara serentak, sekali gus membantu pengguna menilai keberkesanan kandungan mereka dengan lebih jelas. Selain itu, Audience Insights kini boleh dieksport dalam bentuk laporan PDF yang juga memudahkan pengguna menjalankan analisis mendalam terhadap audiens mereka serta menyusun strategi dengan lebih berkesan.

Dari segi kawalan paparan pula, Edits kini menawarkan pilihan baharu seperti kawalan kejelasan untuk teks dan pelekat yang memberikan lebih banyak kebebasan dalam menghasilkan suntingan yang kreatif. Tidak ketinggalan, kemas kini ini turut memperkenalkan font eksklusif daripada Olivia Rodrigo yang menambah sentuhan unik dalam hasil suntingan klip. Semua ciri ini akan tersedia dalam versi terkini aplikasi.