Apple Membuka Stor Aplikasi Alternatif Di Brazil
Effi Saharudin
Brazil menjadi pasaran ketiga selepas Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun yang menerima sokongan stor aplikasi pihak ketiga pada peranti Apple. Ini berlaku selepas Apple mencapai persetujuan bersama Majlis Pentadbiran untuk Pertahanan Ekonomi (CADE) untuk menyelesaikan pertikaian selepas gergasi e-dagang Mercado Libre Group memfailkan aduan mengenai peraturan App Store syarikat itu.

Pengguna di Brazil turut menerima pilihan melakukan pembayaran di luar ekosistem App Store menerusi pihak ketiga atau daripada laman web pembangun aplikasi. Apple masih akan mengambil potongan daripada setiap transaksi dengan ia adalah antara 10-26% bergantung kepada platform yang dipilih pengguna.
Selain membenarkan stor aplikasi pihak ketiga diakses pengguna Brazil, Apple juga membuka akses untuk pengguna di negara tersebut menetapkan stor aplikasi lalai pada peranti. Kesemua ciri baharu ini hanya boleh diakses peranti yang menggunakan iOS 26.5.
Sumber – Apple