Penghantaran Jam Tangan Pintar Global Naik 4% Pada Q1 2026 Dengan Apple Kekal Teratas
Amy Maizuraa
Apple kekal sebagai peneraju global dalam pasaran jam tangan pintar di samping Huawei yang bangkit semula di pasaran China pada Q1 2026. Inilah yang dinyatakan oleh Counterpoint dalam laporan terkini yang turut menyatakan bahawa penghantaran global meningkat sebanyak 4% tahun ke tahun (YoY) pada suku tersebut.

Perkembangan ini menunjukkan pasaran jam tangan pintar kembali menunjukkan momentum positif, hasil daripada penerimaan berterusan produk Apple di global serta pemulihan pasaran China yang semakin rancak. Laporan ini turut menegaskan bahawa pertumbuhan itu dibantu oleh inovasi teknologi dan strategi serantau yang berkesan.

Sorotan laporan turut menunjukkan bahawa Apple mencatat pertumbuhan penghantaran sebanyak 21% berbanding tahun sebelumnya merupakan tertinggi dalam kalangan jenama utama dengan pegangan pasaran global sebanyak 23%. Sementara itu, Huawei menyumbang hampir 40% pasaran di China didorong oleh ekosistem produk yang kukuh, subsidi kerajaan serta fokus pada ciri kesihatan. Huawei juga merekodkan peningkatan sebanyak 12% berbanding tahun lalu dengan pegangan pasaran 17% pada suku pertama 2026.

Selain itu, Xiaomi mencatat pertumbuhan 9% berbanding tahun sebelumnya dengan pegangan 10% pada suku pertama 2026 manakala Imoo pula meningkat 2% berbanding tahun lalu dengan pegangan 7% pada suku yang sama. Sebaliknya, Samsung mengalami penurunan ketara sebanyak -28% sekali gus menunjukkan cabaran besar dalam mengekalkan kedudukannya di pasaran jam tangan pintar.

Purata harga jualan atau ASP (Average Selling Price) dikatakan meningkat sebanyak 6% kerana pengguna kini lebih memilih model dengan ciri premium. Kenaikan ini berlaku kerana adanya integrasi sensor lebih canggih, teknologi AI, serta permintaan tinggi terhadap peranti premium. Selepas penurunan pada tahun 2024, pasaran ini kembali pulih dan inovasi baharu seperti sokongan satelit serta fungsi pemantauan kesihatan canggih menjadi pendorong utama kepada pertumbuhan semasa.
Sumber – Global Smartwatch Shipments Maintain Growth Momentum in Q1 2026