The Verge Diambil-alih – Kini Diposisikan Dibawah Anak Syarikat “PMX”, Membentuk Media Digital Terbesar
Aman
Penske Media kini mereka telah ambil-alih sejumlah jenama media digital dibawah Vox Media, termasuk The Verge, Eater dan juga SB Nation. Harga pengambil-alihan tidak dinyatakan.

Penske Media sebelum ini merupakan pemegang saham di Vox Media yang menguruskan jenama seperti The Verge dan lain-lain. Beberapa minggu sebelum ini, pemilik Vox Media turut telah menjual bahagian podsiar mereka, bersama-sama dengan laman Vox.com dan juga New York Magazine kepada syarikat berasingan.
Bersama-sama dengan pengambil-alihan ini, Penske Media turut membentuk anak syarikat baharu dinamakan PMX, dan menyertakan pelbagai jenama dan portfolio penerbitan mereka dibawah satu bumbung, termasuk Billboard, Variety, Hollywood Reporter bersama-sama dengan jenama yang diambil-alih – Eater, The Verge, SB Nation, Popsugar, The Dodo, Punch dan juga Thrillist. Dengan langkah ini, sebanyak 25 jenama penerbitan diletakkan dibawah PMX, membentuk ia sebagai antara penerbit digital terbesar.
Jualan dan pengambil-alihan ini dilihat hadir ketika pelbagai jenama media digital menghadapi cabaran dalam mengekalkan trafik dan juga pendapatan pengiklanan mereka – disebabkan oleh cabaran daripada platform media sosial yang tidak lagi mempromosikan pautan, selain turut mengambil sejumlah besar dana pemasaran pengiklanan yang biasanya pergi ke syarikat media. Sebelum ini, sekitar 2015, Vox Media pernah mencuri perhatian dengan nilai pasaran sekitar $1 bilion ketika itu, tetapi nilai berkenaan seterusnya jatuh dari tahun ke tahun selepas itu. Selain Vox Media, tahun ini kita turut menyaksikan Buzzfeed yang pernah bernilai hampir $2 bilion pada suatu masa, turut menjual pegangan majoriti kepada pemilik baharu pada nilai $120 juta.