Peluru Berpandu Krus Berkuasa Nuklear Rusia Mencemarkan Udara Dengan Sisa Radioaktif
Effi Saharudin
Pada Oktober tahun lalu, Rusia mengumumkan kejayaan ujian peluru berpandu krus berkuasa nuklear 9M730 Burevestnik yang turut menerima nama kod NATO SSC-X-9 Skyfall. Skyfall menggunakan kuasa nuklear sebagai pendorong menggantikan bahan api konvensional. Dalam ujian tersebut Skyfall terbang selama 15 jam sejauh 14,000 kilometer. In bersamaan jarak dari Kuala Lumpur ke Los Angeles.

Ini ialah jarak yang hanya boleh dicapai oleh peluru berpandu balistik antara benua (ICBM). Peluru berpandu krus Tomahawk yang digunakan ketika Perang Teluk, hanya boleh terbang sehingga 2400 kilometer. Apabila beroperasi kelak ia boleh dilengkapi kepada peledak konvensional dan juga nuklear.
Jake Hecla dan R. Scott Kemp, dua Penyelidik dari Massachusetts Institute of Technology (MIT) telah menerbitkan analisa bagaimana Skyfall berfungsi. Pertama sekali mereka bersetuju kejayaan yang diumumkan Rusia adalah sahih menjadikan Skyfall kenderaan udara pertama yang terbang menggunakan kuasa nuklear sepenuhnya.

Berita buruk dalam laporan yang diterbitkan ialah, Skyfall mungkin menggunakan teras nuklear yang didedahkan terus kepada aliran udara. Udara dialirkan ke dalam enjin turbojet dengan teras nuklear. Udara memanas apabila melalui liang udara teras nuklear untuk menghasilkan daya tujahan. Oleh sebab itu udara panas yang daripada turbin belakang enjin Skyfall mengeluarkan bahan radioaktif yang berbahaya.

Dalam analisa yang sama, Skyfall juga didapati mempunyai kelemahan kerana ia hanya mampu terbang pada kelajuan Mach 0.75 (926 km/j). Ini membolehkan ia ditangkis menggunakan sistem pertahanan anti udara (AD) sedia ada. Ia jauh lebih perlahan berbanding perlu berpandu krus 3M22 Zircon dan Brahmos II yang terbang pada kelajuan Mach 7 (8,600 km/j).
Dengan dua kelemahan ini persoalan yang perlu dijawab ialah mengapa pembangunan Skyfall diteruskan Rusia? Hecla dan Kemp percaya ia adalah batu loncatan membangunkan enjin untuk dron jarak jauh dan sistem senjata angkasa lepas masa depan.
Sumber – NPR