ASML Nafi Mereka Menjual Mesin EUV Terkini Kepada China
Effi Saharudin
Sekatan teknologi oleh Amerika Syarikat menyebabkan mesin menghasilkan cip terkini keluaran ASML dan Tokyo Electron tidak lagi dijual kepada China. Mesin EUV terkini ASML misalnya diperlukan untuk menghasilkan cip 3nm dan ke bawah. Disebabkan sekatan ini, Huawei dan syarikat semikonduktor China hanya mampu mengeluarkan cip 7nm sahaja yang beberapa generasi ke belakang.
Minggu ini, Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat Howard Lutnick, dilaporkan menyuarakan kebimbangan kepada kepimpinan ASML kerana mendakwa mesin EUV terkini mungkin telah sampai ke China. ASML segera menafikan dakwaan ini serta menyatakan menyatakan ia “tidak pernah menghantar mesin EUV atau komponen yang direka khas untuk EUV ke China”

Kementerian Luar Negeri Belanda juga mengeluarkan kenyataan semua peralatan semikonduktor tertakluk kepada lesen Belanda dan peraturan EU. Kesemua peralatan yang termasuk dalam senarai kawalan memerlukan lesen dan penguatkuasaannya adalah ketat.
Muncul laporan sebelum ini Huawei menawarkan gaji tiga kali ganda kepada kakitangan TSMC untuk membina sistem EUV buatan China. Kerajaan China pula memberikan dana berbilion Dollar untuk meningkatkan kemampuan pengeluar cip tempatan bagi membolehkan cip terkini dikeluarkan tanpa sekatan.
Pada Disember tahun lalu, China dipercayai telah membina prototaip mesin EUV buatan tempatan di sebuah makmal sekuriti tinggi di Shenzen dengan bantuan bekas jurutera ASML. Besar kemungkinan mesin EUV yang disebut Lutnick ialah mesin buatan China bukan mesin yang diseludup masuk dario Belanda.
Sumber – Tom’s Hardware