Pengasas Ubisoft Terkorban Dalam Nahas Kapal Terbang
Effi Saharudin
Claude Guillemot (69), salah seorang pengasas bersama Ubisoft dan juga CEO Guillemot Corporation, disahkan maut dalam nahas pesawat di La Baule, Perancis semalam. Mengikut laporan akhbar Ouest-France, pesawat jenis Cessna 421 milik Guillemot berlepas dari Rennes tetapi terhempas di kawasan lapang.

Apabila pasukan penyelamat tiba, pesawat sedang terbakar dan dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Pesawat dipercayai terhempas ketika dalam fasa pendaratan menurut saksi dan kenyataan Datuk Bandar La Baule, Franck Louvrier.
Mendiang mengetuai Guillemot Corporation sejak 1997, syarikat yang mengeluarkan produk Hercules dan Thrustmaster di lebih 140 negara. Syarikat Ubi Soft Entertainment S.A. ditubuhkan pada 28 Mac 1986 oleh Claude bersama empat lagi saudara beliau Christian, Gérard, Michel, dan Yves. Nama Ubi Soft diambil kerana ia adalah singkatan untuk “Ubiquitous Software”.

Pada dekad 80an, perkakasan dan perisian komputer di Perancis adalah lebih mahal berbanding di UK. Menerusi Ubi Soft, kedua-duanya ditawarkan pada harga lebih rendah kepada penduduk Perancis. Ubi Soft memasuki arena penerbitan permainan video sendiri pada tahun 1986 dengan Zombi untuk Amstrad CPC,
Pada tahun 2003, Ubi Soft menukar nama ke Ubisoft secara rasmi. Syarikat ini terkenal dengan siri popular Prince of Persia, Rayman, Farcry, The Division, Watch Dogs, Splinter Cell dan Assassin’s Creed.