Ulasan Vivo X300 Ultra – Premium Untuk Peminat Fotografi
Amy Maizuraa
Vivo kembali mencabar pasaran telefon mercu dengan pelancaran X300 Ultra di Malaysia. Peranti premium ini jelas menyasarkan peminat fotografi dan videografi mudah alih dengan sistem kamera ZEISS, sensor utama 200MP serta paparan LTPO OLED 144Hz yang berkelas mercu. Namun dengan harga bermula RM6,799, persoalan utama mula timbul sama ada ia berbaloi untuk pengguna biasa atau hanya relevan bagi mereka yang mahukan pengalaman fotografi tanpa kompromi? Ini ulasan penuh.

SPESIFIKASI
| Vivo X300 Ultra | |
|---|---|
| Skrin | 6.82‑inci LTPO AMOLED 1440 x 3168 piksel (~510 ppi) 144Hz Dolby Vision, HDR10+, HDR Vivid, Ultra HDR |
| Pemproses | Snapdragon 8 Elite Gen 5 (3 nm) |
| Cip | 2x Oryon V3 Phoenix L 4.6 GHz 6x Oryon V3 Phoenix M 3.62 GHz |
| Cip Grafik | Adreno 840 |
| RAM | 12 GB LPDDR5x |
| Muatan Dalaman | 512GB UFS 4.1 |
| Kamera Utama | 200 MP (wide) – sensor besar 1/1.12″, gimbal OIS 200 MP (periskop telefoto) – OIS, zum optikal 3.7x, sokongan makro 3.4:1 50 MP (ultrawide) – PDAF, OIS Lensa Tambahan (pilihan) 200mm – zum optikal 2.35x, OIS, optik ZEISS 400mm – zum optikal 4.7x, OIS, optik ZEISS |
| Kamera Depan | 50 MP (wide) f/2.5, 24mm Sokongan HDR Rakaman video sehingga 4K |
| Bateri | 6600 mAh Si/C Li-Ion Pengecasan berwayar: 100W Pengecasan nirwayar: 40W |
| SIM/Telefoni | Dwi SIM Nano /5G/eSIM |
| NFC | Ya |
| Infra Merah | Ya |
| Kalis Air | IP68/IP69 |
| Sistem Imbasan | Cap jari terbina sisi Imbasan wajah |
| Harga Jualan | RM 6,799 (16/512 GB) RM 7,799 (16/1000 GB) RM 9,999 (16 1000 GB) (+X300 Photographer Kit) |
Pengalaman Penggunaan
Pertama kali memegang Vivo X300 Ultra, kemewahannya jelas terasa. Modul kamera besar dengan ukiran khas serta logo ZEISS memberikan identiti premium yang tersendiri. Meskipun gaya ini pernah digunakan pada siri X sebelum ini, pada model Ultra ia tampil lebih kemas dan menyerlah, sekali gus menegaskan kedudukannya sebagai telefon mercu yang memfokuskan fotografi dan videografi mudah alih.

Model hijau yang saya terima memberikan sentuhan mewah yang cantik serta tidak mudah meninggalkan kesan cap jari. Gabungan dua tona hijau ini cukup unik, sehingga ada rakan sekerja berseloroh menggelarkannya kuih lapis. Walaupun modul kameranya besar, telefon tetap terasa teguh di tangan. Bahagian depan dan belakang dilindungi kaca tahan lasak manakala bingkai aluminium menyerlahkan binaan teliti. Permukaan rata di kedua-dua sisi pula membantu genggaman lebih selesa, menjadikan pengalaman penggunaan harian lebih premium.

Namun apabila digunakan tanpa kerangka asalnya, telefon ini terasa licin dan mudah tergelincir. Hal ini menjadikan penggunaan dengan satu tangan kurang selesa, terutama ketika merakam video menegak. Saiz besar serta beratnya juga jelas terasa jika digunakan sepanjang hari. Bagi mereka yang mengutamakan telefon ringan dan mudah dibawa, ia mungkin kurang sesuai. Namun, jika anda mencari peranti yang memberikan rasa premium apabila dipegang, X300 Ultra mampu menawarkan pengalaman tersebut.

Dilihat secara menyeluruh berbanding adik-beradiknya seperti X300, X300 Pro atau X300 FE, model Ultra jelas lebih menyerlah. Modul kamera besar pada model ini membuatkan pengalaman memegangnya seolah-olah seperti kamera sebenar, sekali gus memberikan identiti premium yang tersendiri. Jika dibandingkan dengan peranti Ultra daripada jenama lain, perbezaannya juga nampak ketara yang menegaskan kedudukan X300 Ultra sebagai telefon mercu dengan fokus fotografi dan videografi mudah alih.

Saya pernah memegang Oppo Find X9 Ultra dan Samsung Galaxy S26 Ultra yang jelas terasa berbeza. Oppo lebih ringan serta selesa digenggam sekali gus mudah digunakan sepanjang hari tanpa menyebabkan penat. Sebaliknya, X300 Ultra memberikan rasa premium yang kukuh dengan kamera dominan, tetapi beratnya lebih terasa dan kurang sesuai untuk kegunaan harian biasa. Sementara itu, Galaxy S26 Ultra hadir dengan skrin besar serta reka bentuk segi empat ikonik. Ia memberikan rasa mewah dan menjadi pilihan seimbang bagi mereka yang mahukan gaya ikonik bersama paparan luas.

Vivo X300 Ultra hadir dengan skrin AMOLED LTPO 6.82 inci beresolusi 1.5K. Sepanjang penggunaan, skrin ini terasa besar dan selesa untuk tontonan harian. Paparannya cantik yang hampir menyamai Find X9 Ultra sekali gus menjadikannya antara yang terbaik pernah saya cuba. Walaupun menyokong resolusi penuh QHD+, tetapan asal berada di pertengahan antara 1080p dan 1440p. Bagi saya, tetapan lalai itu sudah memadai untuk menonton video, bermain permua atau melayari media sosial maka tidak ada keperluan mendesak untuk mengaktifkan resolusi penuh.

Skrin ini memang terang dan mudah digunakan dalam pelbagai keadaan. Semasa bermain permainan, kadar segar semula boleh meningkat sehingga 144Hz untuk pergerakan lebih lancar. Berdasarkan pengalaman saya, permainan seperti Honor of Kings dan Genshin Impact berjalan dengan baik tanpa gangguan, malah tiada lengah masa input kerana tindak balas sentuhan terasa pantas. Apabila tidak diperlukan, kadar segar semula akan turun ke tahap paling rendah untuk menjimatkan bateri yang menjadikan pengalaman lebih seimbang antara prestasi dan ketahanan.

Dalam bahasa mudah, apabila bermain permainan atau menatal laju, skrin perlu dikemas kini banyak kali sesaat (contohnya 120Hz atau 144Hz) supaya pergerakan kelihatan lancar. Sebaliknya, jika hanya membaca mesej atau melihat gambar statik, skrin tidak perlu dikemas kini sekerap itu kerana tiada pergerakan untuk diikuti. Secara teknikal, telefon ini boleh menurunkan kadar segar semula sehingga 1Hz untuk menjimatkan bateri kerana skrin tidak bekerja keras apabila tidak diperlukan.

Dengan kecerahan maksimum sehingga 4500 nits, paparan kekal jelas walaupun di bawah cahaya matahari terik. Warna pada skrin seimbang dan tidak terlalu tepu menjadikannya lebih selesa untuk mata. Tahap kecerahan ini juga membantu ketika mengambil gambar atau video di luar rumah. Selain itu, telefon turut dilengkapi dengan pengimbas cap jari ultrasonik terbina dalam yang pantas serta mudah digunakan bagi menambah lagi aspek praktikal dalam pengalaman harian.


Pengalaman audio pada X300 Ultra juga memuaskan. Telefon ini dilengkapi dengan pembesar suara stereo yang menyokong Hi‑Res Audio dan Dolby Atmos. Ia mampu menghasilkan bunyi yang jelas, seimbang serta kuat untuk tontonan video atau muzik tanpa perlu menggunakan fon telinga. Bass pada X300 Ultra juga jelas walaupun tidak setanding sistem audio dengan woofer khas. Selain itu, pembesar suara ini mudah tertutup apabila telefon dipegang secara melintang, contohnya ketika bermain permainan, menyebabkan bunyi boleh menjadi sedikit terhalang.
Perkakasan Dalaman – Snapdragon 8 Elite Gen 5
Vivo X300 Ultra menggunakan cip Snapdragon 8 Elite Gen 5, iaitu cip paling berkuasa daripada Qualcomm setakat tahun 2026. Dalam penggunaan harian, telefon ini mampu mengendalikan permua berat, suntingan video dan foto, serta aplikasi pintar seperti suntingan automatik atau cadangan teks dengan baik.
Unit ulasan saya hadir dengan 16GB RAM LPDDR5x dan storan 1TB UFS 4.1 yang membantu prestasi terasa pantas dan stabil. Namun begitu, prestasi sebenar tetap bergantung pada cara penggunaan jadi tidak semua tugasan akan memanfaatkan sepenuhnya kuasa cip ini. Untuk memberikan gambaran lebih jelas, berikut ialah beberapa lagi peranti mercu di pasaran Malaysia yang turut menggunakan cip berkuasa tinggi:
- Oppo Find X9 Ultra – Snapdragon 8 Elite Gen 5
- Samsung Galaxy S26 Ultra – Snapdragon 8 Elite Gen 5 for Galaxy
- Xiaomi 17T Pro – Dimensity 9500
- Honor Magic8 Pro – Snapdragon 8 Elite Gen 5
- Vivo X300 Pro – Dimensity 9500
- Apple iPhone 17 Pro – A19 Pro
Antutu 3D
| Peranti | Skor |
| Vivo X300 Ultra | 3,522,379 |
| Oppo Find X9 Ultra | 4,120,640 |
| Samsung Galaxy S26 Ultra | 3,136,285 |
| Xiaomi 17T Pro | 3,530,586 |
| Honor Magic8 Pro | 3,424,247 |
| Vivo X300 Pro | 3,507,869 |
| Apple iPhone 17 Pro | 2,634,345 |
Geekbench 6

| Peranti | Satu Teras | Multi Teras |
| Vivo X300 Ultra | 3449 | 9547 |
| Oppo Find X9 Ultra | 3505 | 10277 |
| Samsung Galaxy S26 Ultra | 3651 | 10819 |
| Xiaomi 17T Pro | 3158 | 9766 |
| Honor Magic8 Pro | 3587 | 9853 |
| Vivo X300 Pro | 3507 | 10469 |
| Apple iPhone 17 Pro | 3560 | 8835 |
3DMark Wildlife Extreme

| Cip | Skor |
| Vivo X300 Ultra | 6204 |
| Oppo Find X9 Ultra | 7391 |
| Samsung Galaxy S26 Ultra | 7375 |
| Xiaomi 17T Pro | 6939 |
| Honor Magic8 Pro | 7659 |
| Vivo X300 Pro | 7075 |
| Apple iPhone 17 Pro | 5873 |

Telefon ini turut dilengkapi dengan sistem penyejukan wap bersaiz besar yang berfungsi dengan baik dalam mengekalkan prestasi permainan lebih lama. Ketika bermain Genshin Impact, tetapan lalai memang pada 30FPS seperti yang disarankan pembangun. Namun, telefon sebenarnya mampu dimainkan sehingga 60FPS apabila pilihan tersebut diaktifkan, menjadikan pengalaman lebih lancar.
Bermain pada 60FPS memberikan pengalaman yang lebih responsif, tetapi penggunaan bateri meningkat dan suhu naik dengan lebih cepat. Di sinilah sistem penyejukan wap memainkan peranan penting untuk mengurangkan haba dan memastikan prestasi adalah stabil. Untuk permainan lain seperti Honor of Kings, telefon ini boleh dimainkan pada tetapan grafik maksimum dengan kadar bingkai yang tinggi, menjadikan pengalaman lebih lancar dan konsisten.
Saya turut menjalankan ujian penanda aras seperti AnTuTu dan 3DMark, mendapati telefon ini menjadi panas ketika ujian berlangsung. Namun, berdasarkan pengalaman saya, keadaan itu normal kerana kedua‑dua ujian direka untuk menolak cip dan GPU ke tahap maksimum secara berulang kali. Dalam penggunaan harian bagaimanapun suhu tidaklah sepanas ketika ujian penanda aras. Telefon terasa selesa sahaja digunakan.
Perisian Dalaman – OriginOS 6
Saya tidak akan menghuraikan perisian secara panjang kerana OriginOS 6 dalam telefon ini menyerupai beberapa model terkini yang telah diulas sebelum ini, memandangkan ulasan peranti Vivo agak kerap dilakukan dalam beberapa bulan kebelakangan ini. Pun begitu, OriginOS jauh lebih matang berbanding FuntouchOS, meskipun perbezaannya tidak begitu besar. Sepanjang penggunaan X300 Ultra, pengalaman dengan OriginOS 6 boleh dikatakan memuaskan, tetapi masih memerlukan penambahbaikan agar setanding dengan pesaing utama.

Pada pandangan saya, antaramuka yang ditawarkan melalui OriginOS 6 lebih matang berbanding FuntouchOS. Ia menyediakan penyesuaian bebas untuk tema, skrin kunci, skrin utama dan ikon, sekali gus memberi lebih kawalan terhadap gaya paparan harian. Dari segi reka bentuk, sistem ini ringkas serta tidak terlalu sarat dengan aplikasi tambahan kerana Vivo banyak bergantung pada aplikasi Google dan perisian yang tersedia di Play Store. Aplikasi gendut masih wujud, namun tidak terlalu mengganggu pengalaman keseluruhan.

Pilihan ikon asas yang disediakan masih agak terhad. Jika pengguna mahu menggunakan ikon luar (ikon pihak ketiga yang dimuat turun), prosesnya tidak begitu mesra pengguna dan boleh terasa sedikit rumit. Akibatnya, pengalaman menukar ikon tidak sepenuhnya bebas, menjadikan aspek penyesuaian ini masih ada ruang untuk dipertingkatkan.

Dari sudut AI, OriginOS 6 telah memperkenalkan ciri tersendiri namun tahap integrasi masih belum setara dengan pesaing utama. Oppo misalnya menawarkan set suntingan imej berasaskan AI seperti AI Eraser dan AI Unblur. Samsung pula melalui One UI pula mengintegrasikan Galaxy AI dengan fungsi seperti Live Translate yang beroperasi dalam ekosistem Samsung. Sementara itu, Honor menekankan ciri Magic Portal yang boleh memahami teks atau imej lalu mencadangkan tindakan segera.
X300 Ultra menjanjikan sokongan kemas kini sistem operasi selama 5 tahun dan keselamatan sehingga 7 tahun. Ini meletakkannya setara dengan polisi jangka panjang yang ditawarkan oleh pesaing sekali gus memberi keyakinan kepada pengguna bahawa peranti ini akan relevan digunakan untuk tempoh yang panjang.
Kamera – Sistem Palet (Color Style)
Pengalaman saya menggunakan kamera X300 Ultra terasa berbeza berbanding model sebelumnya. Jika dahulu Vivo hanya menawarkan profil warna tetap seperti Natural, Textured atau Vivid untuk hasil segera, kini pendekatannya lebih bebas dengan memberi kawalan penuh kepada pengguna. Perubahan ini menjadikan pengalaman merakam lebih menyeronokkan kerana saya dapat mencuba pelbagai tetapan dan memperoleh hasil yang lebih dekat dengan citarasa sendiri.

Melalui sistem palet kawalan, pengguna diberi kebebasan penuh untuk melaras tona warna, kontras dan suasana mengikut citarasa sendiri. Pada awalnya ia mungkin terasa sedikit janggal, namun selepas beberapa kali mencuba kelebihannya mula terserlah.Sebagai contoh, ketika merakam pemandangan, tona boleh dilaras agar latar kelihatan lebih menarik. Untuk potret pula, kontras boleh disesuaikan supaya kulit nampak lebih natural.

Sistem palet kawalan ini juga sebenarnya mengingatkan saya kepada pengalaman menggunakan ciri Style pada peranti Apple. Bezanya, iPhone menawarkan Photo Styles yang ringkas dan konsisten, manakala Vivo memberikan kawalan manual yang lebih mendalam. Dengan iPhone, pengguna hanya memilih gaya tetap seperti Standard, Rich Contrast atau Vibrant. Sementara itu, Vivo pula membolehkan setiap aspek dilaras secara teknikal mengikut citarasa sendiri.

Kalau anda jenis yang suka kawalan penuh, sistem palet pada Vivo X300 Ultra memang menyeronokkan kerana membolehkan eksperimen dengan warna, kontras dan suasana mengikut citarasa. Bagi yang lebih gemar hasil segera tanpa banyak pelarasan, ia mungkin terasa agak kompleks pada awalnya. Saya sendiri mengambil masa untuk membiasakan diri namun akhirnya mula menyukainya kerana setiap gambar yang terhasil mencerminkan gaya peribadi.
Vivo turut bekerjasama dengan SmallRig untuk menghasilkan kit tambahan khas bagi rakaman video. Kit ini dikenali sebagai video cage dan hadir dengan kipas penyejuk bagi mengelakkan telefon menjadi panas semasa rakaman panjang. Ia juga dilengkapi dengan mount lensa untuk memasang lensa tambahan, beberapa cold shoe mounts untuk aksesori seperti penerima mikrofon atau lampu LED, serta dua pemegang bagi kawalan yang lebih stabil. Namun begitu, saya belum berpeluang mencuba kit ini kerana hanya menerima peranti tanpa set penuh aksesori tersebut.
Kualiti Gambar
Untuk kualiti gambar, pengalaman menggunakan kamera pada X300 Ultra cukup meyakinkan kerana hasilnya konsisten dalam pelbagai keadaan. Kamera utama bijak mengawal cahaya sehingga bahagian terang tidak berlebihan walaupun dalam situasi pencahayaan melampau. Warna langit kelihatan semula jadi dan tidak terlalu putih, manakala kontras serta ketepuan warna berada pada tahap seimbang. Selain itu, lensa ultra lebar tidak menghasilkan herotan keterlaluan. Imej masih tajam dan bebas daripada kesan fisheye yang biasanya mengganggu pada sudut pandangan luas.










Kesan bayang warna hampir tidak kelihatan, menjadikan imej jelas tanpa gangguan. Ketajaman serta butiran masih terpelihara walaupun ketika melakukan zum. Namun apabila mencapai tahap 2000mm, butiran mula berkurangan dan kesan digital lebih ketara. Dalam keadaan cahaya yang sukar dikawal, ada kemungkinan berlaku limpahan cahaya atau blooming. Walaupun begitu, hasil keseluruhan masih boleh diterima untuk kegunaan biasa.





Untuk rakaman malam, hingar memang wujud tetapi tidak terlalu ketara manakala warna masih kelihatan tepu dan berkontras. Hasilnya tidak nampak pudar kerana tiada limpahan cahaya yang terlalu mengganggu. Selain itu, fungsi makro cukup meyakinkan kerana imej kelihatan tajam dengan autofokus yang pantas. Malah, kamera turut mengekalkan perincian pada bahagian cerah dan gelap walaupun dalam keadaan kurang cahaya.








Mod Potret pada X300 Ultra memberikan hasil yang hampir sama dengan kamera utama dari segi warna. Pemisahan subjek kelihatan kemas dengan tepi yang jelas manakala kesan bokeh pula nampak semula jadi tanpa jurang ketara pada pelbagai panjang fokus. Malah, potret yang dihasilkan kelihatan lebih meyakinkan dan menyerlahkan subjek dengan gaya yang lebih profesional.




Secara keseluruhan, pengalaman menggunakan kamera ini terasa meyakinkan dan boleh diharap. Ia tidak hanya bergantung pada spesifikasi atas kertas, tetapi mampu memberikan hasil yang konsisten dalam kebanyakan keadaan sebenar. Walaupun terdapat sedikit kelemahan apabila menggunakan zum melampau, kamera ini masih cukup baik untuk memenuhi keperluan harian.











Bateri Dan Pengecasan Pantas
Peranti ini hadir dengan bateri berkapasiti 6600mAh dan ketahanannya adalah mengagumkan. Dalam penggunaan harian bercampur, ia mampu bertahan sehingga 21 jam dengan SOT sekitar 6 jam, ditambah 3 jam aktiviti lain seperti muzik atau notifikasi ketika skrin dimatikan. Ada juga situasi di mana ia mencatat hampir 14 jam dengan baki 12% atau lebih 10 jam skrin aktif dengan baki bateri 44%. Dalam penggunaan lain, saya boleh dapat hampir 8 jam skrin aktif dengan baki sekitar 32%.

Prestasi ini menunjukkan bahawa bateri X300 Ultra adalah meyakinkan. Malah bagi pengguna biasa yang tidak terlalu kerap menggunakannya, telefon ini diyakini mampu bertahan sehingga dua hari dengan sekali cas.
Apa Di Dalam Kotak
Berikut ialah yang disertakan dalam kotak yang kami terima:
- 1 x Vivo X300 Ultra
- 1 x Kabel USB-C ke USB-C
- 1 x Pengecas 100W
- 1 x Kerangka
- 1 x Manual Pengguna.
- 1 x Pencungkil SIM.

Pesaing
| Vivo X300 Ultra | Oppo Find X9 Ultra | Xiaomi 17 Ultra |
| 6.82″ LTPO AMOLED, 144Hz, Dolby Vision, 4500 nit | 6.82″ LTPO AMOLED, 144Hz, Dolby Vision, 3600 nit | 6.9″ LTPO AMOLED, 120Hz Dolby Vision, 3500 nit |
| Snapdragon 8 Elite Gen 5 (3nm) 2x Oryon V3 Phoenix L 4.74 GHz 6 xOryon V3 Phoenix M 3.62 GHz | Snapdragon 8 Elite Gen 5 (3nm) 2x Oryon V3 Phoenix L 4.6 GHz 6x Oryon V3 Phoenix M 3.62 GHz | Snapdragon 8 Elite Gen 5 (3nm) 2x Oryon V3 Phoenix L 4.6 GHz 6x Oryon V3 Phoenix M 3.62 GHz |
| Adreno 840 | Adreno 840 | Adreno 840 |
| 16 GB LPDRR5X | 12/16 GB LPDDR5X | 16 GB LPDRR5X |
| 512/1000 GB UFS 4.1 | 512/1000 GB UFS 4.1 | 512/1000 GB UFS 4.1 |
| Kamera Utama 200MP f/1.9, OIS (Sudut Lebar) 50MP f/2.0 (Ultra Lebar) 200MP f/2.7, OIS (Telefoto 3.7X) Lensa Zeiss | Kamera Utama 200 MP f/1.5, OIS (Sudut Lebar) 50 MP f/2.0 (Ultra Lebar) 200 MP f/2.2, OIS (Telefoto 3X) 50 MP f/3.5, OIS (Telefoto 10X) Kamera Hasselblad | Kamera Utama 50 MP, f/1.67, OIS (Sudut Lebar) 50 MP, f/2.2 (Ultra Lebar) 200 MP, f/2.39-f/2.96, OIS (Telefoto 3.2-4.3X) Lensa Leica |
| Kamera Hadapan 50 MP f/2.5 | Kamera Hadapan 50MP f/2.4 | Kamera Hadapan 50 MP f/2.2 |
| IP69 | IP69 | IP68 |
| Tiada bicu audio | Tiada bicu audio | Tiada bicu audio |
| Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Stereo |
| 6600 mAh SiC Berwayar 100W Nirwayar 60W Nirwayar Berbalik 10W | 7050 mAh SiC Berwayar 100W Nirwayar 50W Nirwayar Berbalik 10W | 6000 mAh SiC Berwayar 90W Nirwayar 50W Nirwayar Berbalik 10W |
| OriginOS 6, Android 16 Kemaskini 5+7 Tahun | ColorOS 16,Android 16, Kemaskini 5+6 Tahun | HyperOS 3, Android 16 Kemaskini 5+6 Tahun |
| Dilancarkan Mei 2026 | Dilancarkan April 2026 | Dilancarkan Februari 2026 |
| RM 6,799 (16/512GB) RM 7,799 (16/1000GB) RM 9,999 (16 1000 GB) (+X300 Photographer Kit) | RM 6,799 (12/512GB) RM 7,799 (16/1000GB) RM 1,999 (Hasselblad Earth Explorer Kit) | RM5,499 (16GB/512GB) RM5,999 (16GB/1000GB) RM 799 (Ultra Photography Kit) |
Kesimpulan
Secara keseluruhan, pengalaman saya dengan X300 Ultra jelas menunjukkan bahawa ia sebuah telefon premium yang sarat dengan ciri kelas atas. Ia merangkumi reka bentuk mewah, modul kamera besar hasil kerjasama ZEISS, serta paparan AMOLED LTPO yang cantik dan lancar. Namun, dengan harga bermula RM6,799, ia berada dalam kategori premium yang tinggi dan mungkin dianggap terlalu mahal bagi sesetengah pengguna.
Bagi mereka yang serius tentang fotografi atau videografi mudah alih, X300 Ultra boleh dianggap berbaloi kerana ia menawarkan kualiti rakaman yang tinggi dan mendekati pengalaman seakan sebuah kamera profesional. Namun, untuk kegunaan harian biasa, harga hampir RM7,000 mungkin terasa terlalu mahal berbanding peranti mercu lain yang menawarkan prestasi hampir sama dengan kos lebih rendah

Alternatif yang lebih sesuai bergantung pada keperluan pengguna. Samsung Galaxy S26 Ultra hadir dengan gaya ikonik dan seimbang manakala Oppo Find X9 Ultra lebih ringan serta praktikal. Untuk mereka yang mahukan rasa premium dengan kos lebih rendah, Vivo X300 Pro atau X300 FE masih menawarkan pengalaman kelas atas. Selain itu, OnePlus 15 juga wajar dipertimbangkan kerana ia menawarkan prestasi mercu dengan pengecasan pantas dan paparan lancar pada harga yang lebih kompetitif.
Kelebihan
- Kamera utama 200MP dengan kerjasama ZEISS.
- Lensa telefoto periskop dengan penstabilan gimbal.
- Paparan LTPO OLED 144Hz yang lancar.
- Cip Snapdragon 8 Elite Gen 5 dengan RAM/storan besar.
- Bateri 6600mAh dengan pengecasan pantas 100W.
- Kalis air IP68/IP69.
Kekurangan
- Saiz dan berat agak besar.
- OriginOS ada aplikasi gendut pra-pasang.
- Fokus kamera premium kurang relevan untuk pengguna biasa.
