Jaket Yang Boleh Menghasilkan Air Daripada Udara Dibangunkan Jurutera University of Texas
Nazrin
Menghasilkan air dari kelembapan udara bukanlah satu konsep yang baru, tetapi perkakasan-perkakasan yang diperlukan untuk melakukannya bukanlah sesuatu yang mudah dibeli, dan secara lazimnya memerlukan lokasi yang khusus dan sukar untuk dibawa kemana-mana.
Terkini, sekumpulan jurutera dari University of Texas telah berjaya membangunkan jaket yang boleh menghasilkan sehingga 900 mililiter air setiap hari dari kelembapan sekelilingnya. Mereka telah membangunkan sejenis serat yang boleh menyerap kelembapan dari udara sekeliling, yang kemudiannya boleh diproses untuk dijadikan air yang boleh diminum.

Berbanding alat penghasilan air konvensional yang lain, tekstil ini menunjukkan peningkatan tiga hingga 10 kali ganda berdasarkan skala penghasilan air. Konsep gentian dan fabrik yang boleh menyerap kelembapan dan ditukar menjadi air ini membolehkan lebih banyak lagi aplikasi lapangan yang bukan sahaja mengurangkan kos, tetapi mudah untuk diagihkan untuk pelbagai jenis kegunaan.
Para penyelidik juga kini sedang meneliti aplikasi melangkaui pemakaian, termasuk beg galas, khemah, tempat perlindungan kecemasan dan peralatan luar yang lain, yang membolehkan barang-barang yang dibawa orang setiap hari untuk membantu mengumpul air dari udara. Gentian/fabrik ini sudahpun dipatenkan oleh unit komersialisasi University of Texas.
Sumber: University of Texas