Qualcomm Dalam Perbincangan Membeli Modular Inc Sebagai Cara Untuk Memasuki Pasaran Cip AI
Nazrin
Qualcomm adalah salah satu pengeluar cip pemprosesan yang terbesar di dunia, yang mana mereka menghasilkan cip-cip pemprosesan untuk peranti pintar dan komputer riba untuk kelas pengguna dan juga perniagaan. Qualcomm kini dikatakan sedang dalam perbincangan dan pertimbangan untuk membeli sebuah syarikat pembangun cip AI untuk pusat data yang dinamakan Modular Inc.
Modular ialah sebuah syarikat pemula pembangun cip pemprosesan AI yang dibangunkan pada tahun 2022, dan beberapa bulan lalu telah dinilaikan pada harga $1.6 bilion (~RM6.6 bilion), dan sekiranya Qualcomm benar-benar serius mahu mengambil-alih syarikat ini, jangkaannya ialah mereka akan perlu membayar sebanyak $4 bilion (~RM16 bilion).
Menurut laporan Bloomberg, Qualcomm dilihat mahu memasuki pasaran pengeluaran cip pemprosesan pusat data dan sektor automotif secara lebih serius, dan pengambilalihan Modular merupakan salah satu langkah terbesar yang boleh dilakukan oleh mereka untuk ia berlaku.
Perbincangan untuk pengambilalihan ini dijangka akan mengambil masa beberapa minggu, dimana kedua-dua pihak akan berbincang tentang nilai dan terma pengambil-alihan. Bloomberg melaporkan bahawa untuk masa ini, terdapat kebarangkalian bahawa Qualcomm mungkin tidak akan berjaya dengan pengambil-alihan ini sekiranya Modular tidak menerima tawaran mereka.
Sumber: Bloomberg