Meta Sedang Membangunkan Arena – Aplikasi “Ramalan Pasaran” Mirip Polymarket
Effi Saharudin
Meta sudah menguasai pasaran media sosial dan mengembangkan dominasi dalam pasaran cermin mata pintar pula. Tetapi kini mereka ingin menerjah masuk pula ke dalam dunia “ramalan pasaran” yang hanya sekadar penjenamaan semula untuk perjudian menurut laporan The New York Times.

Aplikasi baharu yang diberi nama Arena mempunyai ciri ramalan yang sama seperti Polymarket dan Kalshi. Pembangunan dilakukan oleh pasukan kecil di Meta dengan ia belum pasti akan dilancarkan kepada umum. Satu perbezaan Arena ialah pengguna tidak bertaruh menggunakan wang sebenar, tetapi menggunakan sistem mata seperti permainan video. Namun terdapat kemungkinan pertaruhan wang sebenar boleh dilakukan di masa hadapan.
Mark Zuckerberg tidak pernah mahu ketinggalan mengikuti trend pasaran semasa dan Arena ialah percubaan untuk memasuki pasaran yang bernilai berbilion Dolar. Sungguhpun begitu letusan laman pasaran ramalan menerima kritikan kerana ia menggalakkan perjudian yang boleh dilakukan ke atas apa-apa sahaja dengan skandal maklumat dalaman digunakan untuk mengaut keuntungan.