Berhati-Hati Dengan Fail Yang Anda Terima Melalui WhatsApp Di Windows
Aman
MyCert kini mengeluarkan peringatan kepada para pengguna di Malaysia, untuk berhati-hati apabila mengakses fail yang diterima melalui WhatsApp – terutamanya WhatsApp Web dan juga WhatsApp Desktop. Melalui pemerhatian pihak MyCert, mereka dapati terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang menyasarkan pengguna tempatan dengan menghantar fail berformat VBS kepada pengguna WhatsApp.
Fail berkenaan akan dijalankan secara automatik sekiranya dibuka menggunakan WhatsApp Desktop atau WhatsApp Web ketika menggunakan sistem operasi Windows.
Melalui pemerhatian pihak MyCert, pihak penyerang menggunakan nama fail berbeza ketika menghantarnya kepada pengguna, termasuk dengan nama fail “Sila Semak Bil anda.vbs”, dan “Statement of Account.vbs”. Sekiranya pengguna membuka fail berkenaan pada komputer Windows, maka ia akan menjalankan proses jangkitan, dan memberikan akses jarak jauh kepada penyerang, selain membolehkan sejumlah informasi yang diinput melalui komputer dijangkiti terdedah kepada penyerang.

Orang ramai diingatkan tidak memuat-turun atau menjalankan fail yang diterima pihak tidak dikenali, atau berformat VBS pada komputer anda. Sekiranya peranti anda telah dijangkiti, maka anda diminta untuk putuskan hubungan internet untuk peranti berkenaan, dan seterusnya mengubah kata laluan untuk akaun anda melalui peranti lain.
Seperti biasa, anda dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati ketika menerima atau mengakses sebarang fail yang anda terima secara atas-talian, tanpa mengira sebarang medium.