Meta Kembalikan Semula Facebook Creator Studio Dengan Peningkatan Berasaskan AI
Amy Maizuraa
Meta mengembalikan semula Facebook Creator Studio, namun kali ini dalam bentuk aplikasi sokongan berasaskan kecerdasan buatan (AI). Fokus utama bukan sekadar pada analisis data dan penerbitan kandungan tetapi sebagai pembantu pintar yang mampu meringankan beban kerja pencipta kandungan. Platform ini hadir dengan kemampuan membantu mereka merancang, berhubung dengan audiens, menjejaki prestasi serta mengurus komuniti secara lebih efisien.

Antara fungsi utama yang diketengahkan ialah analisis prestasi kandungan, penjanaan idea, pengenalan trend semasa serta pemberian saranan untuk meningkatkan capaian. Meta turut memperkenalkan ciri baharu seperti pengurusan komen berasaskan AI yang mampu mengenal pasti perbualan penting dan menyediakan draf jawapan mengikut gaya komunikasi pencipta.

Selain itu, platform ini turut dilengkapi dengan kalendar kandungan yang membolehkan pencipta menyusun jadual penerbitan dengan lebih teratur. Ia juga menyediakan kemampuan memuat naik video dalam jumlah yang banyak secara serentak untuk memudahkan proses penerbitan. Di samping itu, analitik yang ditawarkan lebih menyeluruh sekali gus memberikan gambaran prestasi kandungan yang lebih mendalam dan terperinci.

Buat masa ini, Creator Studio versi baharu ini sedang diuji bersama kumpulan kecil terpilih sebelum dibuka kepada lebih ramai pengguna. Platform ini turut direka untuk memaparkan keutamaan harian seperti prestasi siaran, komen yang memerlukan perhatian dan lain-lain.

Hakikatnya, Meta sebelum ini telah menghentikan ciri ini dan menggantikannya dengan Professional Dashboard serta Business Suite. Kini, Creator Studio dilancarkan semula dengan wajah baharu yang lebih berfokus kepada pencipta kandungan dengan teknologi AI sekali gus bertujuan mengurangkan beban kerja harian mereka.