Snapdragon Summit 2026 Akan Berlangsung Pada 22–24 September
Amy Maizuraa
Qualcomm telah mengumumkan tarikh rasmi bagi Snapdragon Summit 2026, iaitu pada 22 hingga 24 September di Hawaii. Dalam acara tersebut, mereka dijangka memperkenalkan cip telefon pintar baharu yang berkemungkinan dinamakan Snapdragon 8 Elite Gen 6. Cip ini dijangka lebih berkuasa serta lebih jimat tenaga kerana menggunakan teknologi pembuatan 2nm sama seperti cip Exynos 2600 keluaran Samsung.

Selain itu, terdapat kemungkinan Qualcomm akan mengumumkan model tambahan dalam siri Gen 5 termasuk versi 3nm Pro. Bagaimanapun, tumpuan utama semestinya bukan hanya pada prestasi cip malah turut melibatkan isu kos komponen seperti RAM, storan dan pemproses yang semakin meningkat. Keadaan ini menimbulkan kebimbangan bahawa telefon Android yang menggunakan cip baharu tersebut mungkin akan dijual dengan harga yang lebih tinggi.

Lebih-lebih lagi apabila permintaan pasaran juga akan menjadi faktor penting kerana prestasi tinggi tidak akan bermakna jika pengguna merasakan harga terlalu membebankan. Hal ini menunjukkan bahawa acara Snapdragon Summit ini bukan sekadar tentang kuasa cip, tetapi tentang aspek ekonomi dan strategi harga. Selain telefon pintar, terdapat kemungkinan mereka berkongsi lebih lanjut mengenai platform Reality Elite untuk headset AR/VR.