Vertiv Membuka Kilang Infrastruktur Penyejukan Dan Bekalan Kuasa Pusat Data AI Di Senai
Nazrin
Vertiv ialah syarikat pembekal komponen pusat data yang dikenali untuk penawaran bekalan kuasa, sistem penyejukan dan pelbagai infrastruktur dan kelengkapan digital lain yang diperlukan untuk membangunkan dan membuka pusat data.

Hari ini, Vertiv telah membuka kilang komponen infrastruktur pertama mereka di kawasan perindustrian Senai, Johor yang dilihat akan memenuhi permintaan untuk kelengkapan sistem penyejukan dan bekalan kuasa pusat data untuk rantau Asia Tenggara, Asia Utara, Australia dan New Zealand.

Kilang Vertiv di Senai ini hadir dengan keluasan 236 ribu kaki persegi dan dilihat akan memperkasakan kemampuan Vertiv dalam aspek keupayaan pengeluaran, kejuruteraan, logistik dan penghantaran dan pemasangan pusat data serantau. Lokasi kilang ini juga hadir dengan kelebihan unik dimana ia berdekatan dengan pelbagai hab teknologi dan rakan perniagaan serantau.
Paul Churchill, Timbalan Presiden dan Pengurus Besar Vertiv yang berada di upacara pembukaan kilang ini mengatakan bahawa Asia merupakan rantau yang memperlihatkan pembangunan pusat data yang paling pesat. Pembukaan kilang mereka di Senai boleh dilihat sebagai komitment syarikat untuk membekalkan komponen-komponen dan infrastruktur pusat data yang berkualiti kepada pelanggan pada skala yang dikehendaki secara cekap dan kukuh.

Kilang Vertiv di Senai ini hadir dengan kemampuan pengeluaran, pemasangan dan ujian dari hujung-ke-hujung untuk membangunkan sistem bekalan kuasa dan penyejukan untuk pusat data AI pada pelbagai jenis skala untuk membolehkan pelanggan-pelanggan mereka mendapatkan dan memasang kelengkapan ini secara lebih cepat supaya pusat-pusat data mereka boleh beroperasi secepat mungkin.
Komponen-komponen pusat data yang akan dihasilkan oleh kilang ini termasuklah unit pengagihan penyejuk Vertiv CoolChip, infrastruktur bekalan dan kawalan kuasa pusat data Vertiv Power Module dan Vertiv Power Skid dan juga Vertiv SmartRun, sistem infrastruktur bekalan kuasa dan penyejukan pasang-siap mereka.

Sebab mengapa kilang ini dibuka di Senai, Johor adalah kerana permintaan untuk sistem penyejukan dan bekalan kuasa yang meningkat dengan mendadak di rantau ini, termasuklah Asia Utara, Australia dan New Zealand, jadi lokasi kilang Johor yang dekat dengan pelabuhan dan pelbagai sektor teknologi yang maju membolehkan Vertiv untuk menghasilkan dan menghantar komponen-komponen ini kepada pelanggan di rantau ini dengan pantas sekali. Vertiv kini mempunyai 35 kilang pengeluaran infrastruktur pusat data di seluruh dunia.
Di Johor khususnya, sebanyak 17 pusat data telah mula beroperasi daripada 52 pusat data AI yang disahkan pembangunannya. Di sini, jangkaannya akan ada beberapa daripada mereka juga yang kelak akan menggunakan khidmat Vertiv untuk membekalkan infrastruktur bekalan kuasa dan sistem penyejukan mereka.

Dengan pembukaan kilang ini juga, Vertiv dijangka akan membawa masuk 500 peluang pekerjaan profesional yang akan membangunkan infrastruktur-infrastruktur pusat data apabila ia beroperasi pada tahap optimum pada tahun 2027 kelak.
Selain daripada kapasiti pembinaan dan pengeluaran, kilang ini juga hadir dengan fasiliti ujian untuk infrastruktur unit pengagihan penyejuk dan kawalan bekalan kuasa untuk memastikan bahawa semua infrastruktur yang dihasilkan menepati piawaian yang ditetapkan Vertiv sendiri, dan juga keperluan pelanggan pusat data.

Kilang Vertiv di Senai sudahpun mula beroperasi dalam fasa pertama, dimana mereka sudahpun mula membangunkan dan menguji unit pengagihan penyejuk Vertiv CoolChip untuk pusat data yang menggunakan produk adikomputer NVIDIA GB300.
Menjelang penghujung tahun ini, kilang ini akan beroperasi dalam fasa kedua dimana mereka akan mula menghasilkan produk Vertiv CoolChip dengan kapasiti penggunaan kuasa 2300W keatas untuk pusat data serantau. Jangkaan pihak Vertiv ialah kilang komponen infrastruktur penyejukan dan bekalan kuasa ini akan beroperasi dengan pengeluaran sepenuhnya pada pertengahan tahun 2027 kelak.