Claude Mythos 5 dan Fable 5 Kembali Boleh Diakses Bukan Rakyat Amerika Syarikat
Effi Saharudin
Akses kepada model Claude Mythos 5 dan Fable 5 akan diaktifkan semula kepada pengguna bukan rakyat Amerika Syarikat esok. Pada 13 Jun lalu, akses dua model SOTA ini dihalang oleh Anthropic selepas menerima arahan daripada Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat kerana risiko ia digunakan negara lain bagi tujuan perang siber.

Anthropic dilaporkan diberikan hanya 90 minit untuk menghalang akses Mythos 5 dan Fable 5. Wujud kerisauan model diakses oleh pengguna di China bagi menjalankan penyulingan (distilation) bagi melatih model sendiri dengan keupayaan yang sama. Kedua-dua model ini mempunyai kemampuan mencari kerentanan sekuriti pada sistem serta perisian yang kemudiannya digunakan untuk melakukan serangan siber.
Akses kepada Mythos 5 dan Fable 5 diaktifkan semula secara berperingkat pagi ini selepas Anthropic meletakkan beberapa sistem menghalang ia digunakan bagi tujuan yang tidak sepatutnya. Hanya Fable 5 boleh diakses secara umum.
Mythos 5 kekal diberikan kepada organisasi tertentu yang merupakan sekutu Amerika Syarikat menerusi Project Glasswing. Sekatan awal bulan lalu sekadar mengalang pengguna luar Amerika Syarikat mengakses Mythos 5 walaupun mereka adalah sekutu.