Meta Ingin Membeli Kalshi Sebelum Bangunkan Aplikasi Pasaran Ramalan Sendiri
Effi Saharudin
Mark Zuckerberg membina Facebook dan dengan pendapatan yang dijana membeli pesaing seperti WhatsApp dan Instagram satu persatu. Sekiranya tidak boleh dibeli, klon sama seperti Snap dan Clubhouse dibangunkan sendiri. Menurut laporan NPR, Mark Zuckerberg pernah melakukan pertemuan dengan CEO Kalshi, CEO Tarek Mansour untuk membeli platform pasaran ramalan tersebut.

Perbincangan untuk membeli tidak diteruskan kerana harga tidak dipersetujui dan Meta tidak mahu dikaitkan dengan aplikasi yang sedang bergelumang dengan pelbagai kontroversi. Laporan ini muncul selepas Meta dikatakan sedang membangunkan Arena, aplikasi pasaran ramalan mereka sendiri mirip Kalshi dan Polymarket.
Pasaran ramalan hanyalah nama lain untuk platform perjudian dengan pengguna mempertaruhkan wang untuk kebarangkalian sesuatu berlaku. Ia tidak terhad kepada sukan sahaja seperti aplikasi perjudian lain.
Polymarket dan Kalshi mempunyai reputasi buruk kerana menormalisasikan perjudian menggunakan lubang gelung yang wujud dalam undang-undang Amerika Syarikat. Kedua-duanya kini disiasat kerana menyebabkan ketagihan perjudian dengan beberapa pengguna turut diheret ke mahkamah selepas menggunakan maklumat sulit dalaman untuk mengaut keuntungan.