U Mobile Melengkapkan Pemindahan Rangkaian Telekomunikasi Dari Infrastruktur DNB Sepenuhnya
Nazrin
Seperti yang sedia maklum, syarikat telekomunikasi U Mobile merupakan pengendali rangkaian 5G kedua di Malaysia, setelah dipilih oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, dan telah memulakan proses pemindahan infrastruktur rangkaian dari DNB ke rangkaian mereka sendiri yang dinamakan rangkaian U Mobile ULTRA5G.
Peralihan rangkaian ini telah dimulakan sejak Julai 2025, tidak lama selepas pemilihan untuk menjadi pengendali rangkaian 5G kedua Malaysia, dan sejak mereka mula membangunkan rangkaian telekomunikasi berkelajuan tinggi mereka sendiri, mereka dilihat telah berjaya mengembangkan liputan rangkaian mereka ke 85 peratus kawasan berpenduduk di seluruh Malaysia setakat ini, memperlihatkan peningkatan berbanding 82.9 peratus yang dilaporkan beberapa bulan yang lalu.

Selain daripada menyediakan rangkaian 5G di kawasan terbuka, U Mobile juga kini sudah hadir dengan penawaran rangkaian tersebut di 190 bangunan di seluruh Malaysia, termasuklah lokasi-lokasi seperti Berjaya Times Square, dengan angka tersebut juga dijangka meningkat sehingga 600 bangunan dan infrastruktur tertutup lain kelak.
Mereka juga mengumumkan pembiayaan bersindiket sebanyak RM4.3 bilion daripada konsortium institusi kewangan tempatan dan antarabangsa untuk menyokong pengembangan dan peningkatan berterusan rangkaian mereka, sekaligus memperkukuh komitmen jangka panjang untuk menyediakan sambungan berkualiti tinggi di seluruh Malaysia.
Wong Heang Tuck, Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile, berkata, “Penyelesaian peralihan kami kepada rangkaian ULTRA5G di seluruh negara menandakan satu peristiwa penting untuk U Mobile. Peralihan ini memberikan kami kawalan penuh ke atas rangkaian dan membolehkan kami untuk memperkenalkan inovasi baru secara lebih pantas Kelak kami juga boleh memperkenalkan produk dan perkhidmatan berbeza yang memenuhi keperluan pengguna dan perniagaan yang sentiasa berubah tidak kira di mana mereka berada.”