Kementerian Kesihatan Tutup Sementara Laman Web Rasmi Untuk Penambahbaikan Sistem Keselamatan
Amy Maizuraa
Kementerian Kesihatan (MOH) menutup sementara laman web rasminya bagi tujuan kemas kini dan penambahbaikan ciri keselamatan siber. Langkah ini diambil susulan serangan siber pada 27 Jun 2026 apabila halaman utama laman web digodam dan diganti dengan imej serta mesej bersifat ancaman oleh kumpulan penggodam yang dikenali sebagai Mushr00w.

Selepas insiden tersebut, MOH segera membuang paparan yang tidak sesuai sebelum mengumumkan bahawa laman berkenaan kini dalam proses penyelenggaraan. MOH turut menasihatkan orang ramai supaya mengelak daripada mengakses laman sesawang berkenaan buat masa ini serta memberi amaran agar tidak menekan pautan mencurigakan atau memuat turun sebarang fail daripada portal tersebut.
MOH memaklumkan bahawa siasatan dan tindakan pemulihan sedang dijalankan bersama agensi berkaitan susulan insiden ancaman siber itu dengan perkembangan akan dikongsi dari semasa ke semasa. Setakat ini, tiada tanda bahawa insiden tersebut menjejaskan sistem kritikal atau menyebabkan kebocoran data sensitif.
Sistem perkhidmatan kesihatan kementerian juga akan terus beroperasi seperti biasa kerana dilindungi oleh rangka kerja teknologi yang berasingan dengan kawalan keselamatan siber yang ketat.