TNG eWallet Kini Turut Membolehkan Anda Membeli Maklumat SSM Terus Melalui Aplikasi
Amy Maizuraa
TNG Digital Sdn. Bhd. bersama Raffcomm Technologies dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah menjalin kerjasama strategik bagi memudahkan akses orang awam kepada perkhidmatan SSM e-INFO melalui platform TNG eWallet. Inisiatif ini bertujuan membantu pengguna mendapatkan maklumat perniagaan rasmi yang sahih dan dipercayai dengan lebih pantas serta efisien.


Kerjasama ini bukan sahaja memudahkan capaian maklumat syarikat berdaftar malah turut menyokong agenda pembangunan digital nasional dengan memperkukuh ekosistem digital yang menyeluruh. Langkah ini turut berperanan meningkatkan tahap ketelusan perniagaan, memudahkan proses semakan syarikat oleh pelabur serta mengukuhkan keyakinan terhadap keselamatan transaksi digital.


Melalui integrasi ini, pengguna tidak lagi perlu bergantung sepenuhnya kepada portal rasmi SSM. Sebaliknya, mereka boleh memanfaatkan aplikasi TNG eWallet yang telah menjadi sebahagian daripada ekosistem digital negara. Inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan capaian maklumat perniagaan rasmi malah turut memperkukuh keyakinan awam terhadap aspek keselamatan serta ketepatan data yang diakses.
Namun, perlu ditegaskan bahawa pengguna hanya boleh membuat carian untuk tujuan semakan maklumat syarikat berdaftar sahaja dan bukannya untuk pendaftaran atau kemaskini maklumat.

Sebelum adanya integrasi ini, pengguna yang ingin menyemak maklumat syarikat berdaftar perlu melayari portal rasmi SSM secara manual. Proses ini mengambil masa kerana mereka perlu log masuk, mencari syarikat yang berkenaan dan menunggu maklumat dipaparkan.
Bagi peniaga kecil atau pengguna biasa, langkah ini sering dianggap rumit dan kurang mesra pengguna. Kini, dengan adanya integrasi ini, proses semakan menjadi lebih mudah sekali gus meningkatkan keyakinan awam terhadap keselamatan serta ketepatan data perniagaan yang diakses.