Microsoft Dikatakan Menghentikan Pengeluaran Surface Go Dan Surface Laptop Go
Nazrin
Siri tablet dan komputer riba Microsoft Surface Go dan Surface Laptop Go diperkenalkan sebagai siri komputer mudah-alih yang mampu milik untuk mereka yang tidak mampu membeli siri Microsoft Surface Pro dan Surface Laptop. Secara lazimnya, peranti Surface Go akan hadir dengan cip pemprosesan yang lebih mampu milik dan tanda harga yang membolehkan lebih ramai orang untuk menikmati penawaran siri peranti tersebut.
Terkini, ia telah dilaporkan oleh Windows Central bahawa Microsoft kini telah menghentikan pengeluaran siri peranti Microsoft Surface Go dan Surface Laptop Go generasi ke-4 dan tidak mempunyai sebarang pelan untuk menggantikannya dengan model peranti baharu.

Kini, ia dapat dilihat bahawa peranti-peranti Microsoft Surface yang tinggal hanyalah tablet Microsoft Surface Pro dan Microsoft Surface Laptop yang premium dan Microsoft Surface RTX Spark Dev Box untuk pembangun perkhidmatan dan teknologi kecerdasan buatan.
Laporan tersebut turut mengatakan bahawa stok Microsoft Surface Go dan Surface Laptop Go sedia ada akan terus dijual sehingga ia habis, dan selepas itu, hanya model-model premium sahaja yang akan kekal dijual.
Peranti Microsoft Surface kini dilihat hadir dengan penawaran cip pemprosesan Intel dan juga Qualcomm yang lebih premium, dan bergerak kehadapan, ia nampaknya akan kekal sebagai siri peranti yang hadir dengan tanda harga yang lebih mahal.
Sumber: Windows Central