Sony Umum Penamatan Penawaran Cakera Fizikal Untuk Permainan PlayStation
Nazrin
Jika anda membesar dengan permainan video dan komputer, anda pastinya merasai perasaan gembira membuka penutup media fizikal apabila mengeluarkan media tersebut tidak kira dalam bentuk katrij ataupun cakera. Akan tetapi era media fizikal untuk permainan video dilihat akan berakhir dalam masa beberapa tahun lagi, khususnya dengan pengumuman terbaru oleh Sony.
Sid Shuman, Ketua Pengarah Bahagian Komunikasi Kandungan di Sony Interactive Entertainment telah membuat pengumuman bahawa Sony akan menghentikan pengeluaran cakera fizikal Blu-Ray untuk permainan-permainan yang dikeluarkan untuk konsol Sony PlayStation bermula Januari 2028.
Ini bermakna bahawa untuk semua permainan baru yang dilancarkan pada Januari 2028 tidak lagi akan hadir dengan media cakera Blu-Ray, dan semua kotak-kotak fizikal yang dijual di kedai dan pengedar permainan akan hadir dengan kod digital yang boleh ditukar untuk menjadi salinan permainan di PlayStation Store.

Ini mungkin bukan satu perkara yang mengejutkan apabila dilihat bahawa pengeluaran cakera Blu-Ray sudahpun semakin merudum dari tahun ke tahun, dan nampaknya tahun 2028 merupakan tahun dimana untuk Sony sekurang-kurangnya, kewujudan salinan fizikal permainan akan berhenti.
Penawaran kod permainan digital dalam jualan kotak fizikal bukanlah sesuatu yang baru. Nintendo sudahpun mula melakukannya apabila mereka melancarkan konsol Nintendo Switch 2 mereka pada awal tahun ini. Grand Theft Auto VI yang dijadualkan untuk dilancarkan pada bulan November ini juga memperlihatkan penawaran yang sama pada awal pelancaran, dengan ura-ura media fizikal hanya akan dijual pada pertengahan atau penghujung bulan Disember ini.
Ini merupakan pengumuman yang cukup sedih sekali untuk mereka yang lebih gemar memiliki salinan fizikal permainan-permainan video dan komputer kegemaran mereka. Kita nampaknya akan beralih ke “pemilikan” digital sahaja di masa akan datang, sama ada kita sukakannya ataupun tidak.
Sumber: PlayStation Blog