Apple Sasar Pengeluaran 10 Juta Telefon Lipat iPhone Ultra Tahun Ini
Effi Saharudin
Apple dijangka melancarkan telefon lipat iPhone Ultra sekitar September bersama dengan siri iPhone 18. Ia adalah peranti lipat sulung keluaran mereka dan nampaknya Apple meletakkan sasaran jualan yang sangat tinggi.

Menurut laporan Nikkei, Apple memberitahu pembekal untuk bersedia menerima pesanan sehingga 10 juta iPhone Ultra sepanjang 2026. Ini adalah jumlah yang besar bagi produk generasi pertama. Sebagai perbandingan Samsung hanya meletakkan sasaran 1 juta Galaxy Z Fold sahaja dijual semasa dilancarkan hampir tujuh tahun lalu.
Angka 10 juta ini masih lagi kecil berbanding sasaran pengeluaran 220 juta iPhone untuk tahun 2026. Apple masih agresif meletakkan sasaran pengeluar yang tinggi sedangkan Xiaomi, Oppo dan Vivo kesemuanya mengurangkan sasaran pengeluaran bawah 100 juta kerana krisis RAM yang meruncing.
Bagi memastikan peranti dapat dikeluarkan tanpa kekurangan komponen, muncul laporan Apple meminta kebenaran Jabatan Perdagangan Amerika untuk membenarkan mereka menggunakan RAM keluaran CXMT untuk iPhone pasaran China sahaja. CXMT dimasukkan ke senarai hitam kerana didakwa bekerjasama dengan tentera China.