Video Project Aion Tertiris – Binaan Sistem Operasi Microsoft Copilot Seakan Google ChromeOS
Nazrin
Jika anda pernah menggunakan komputer riba Chromebook, anda pasti kenal sistem operasi ChromeOS, yang merupakan sistem operasi ringan oleh Google yang dibina menggunakan pelayar web Google Chrome sebagai penggerak sistem operasi tersebut. Kebanyakan aspek sistem operasi tersebut dilihat memerlukan sambungan atas talian untuk menggunakannya secara cekap.
Baru-baru ini, salinan video lama berkenaan Project Aion, iaitu projek binaan sistem operasi berasaskan pembantu digital Microsoft Copilot dan juga pelayar web Microsoft Edge telah tertiris ke arena web baru-baru ini, menunjukkan bukti konsep sistem operasi tersebut yang dilaporkan diperlihatkan pada tahun 2024.

Sama seperti ChromeOS, Project Aion hadir sebagai sebuah sistem operasi yang berasaskan web sahaja, dan tidak menyokong aplikasi-aplikasi Microsoft sedia ada. Ia juga menggunakan teknologi Copilot untuk pelbagai tugasan yang boleh dilakukan melalui sistem operasi ini, menjadikannya sebuah sistem operasi yang ringan, tetapi sangat bergantung kepada sambungan internet.
Malah, untuk menggunakan pelbagai aplikasi Microsoft, komputer yang menggerakkan sistem operasi Project Aion ini akan perlu hadir dengan langganan Windows 365, melog masuk ke dalam komputer awan tersebut untuk menggunakan aplikasi-aplikasi yang diperlukan.
Bahagian taskbar sistem operasi ini hadir dengan ciri Spaces yang boleh mengumpulkan ikon-ikon aplikasi dalam satu kumpulan ikon untuk memudahkan pengguna kembali menggunakannya dengan cepat. Akan tetapi, dalam video tersebut, ia dapat dilihat bahawa banyak ciri-ciri lain masih belum berfungsi. Projek tersebut dilaporkan juga tidak diteruskan, dengan perkhidmatan AI Copilot diterapkan sebagai fungsi asas dalam sistem operasi Windows 11.
Sumber: Reddit