Keuntungan Samsung Diramal Meningkat 1900% Disebabkan Permintaan RAM
Effi Saharudin
Berita besar yang menjadi bualan dunia teknologi Mei lalu ialah kesatuan sekerja Samsung mengugut melakukan mogok 18 hari sekiranya bonus mereka tidak dinaikkan. Pendapatan Samsung Electronics meningkat kerana permintaan untuk RAM yang meningkat berkali ganda disebabkan pusat data kecerdasan buatan (AI). Samsung tunduk kepada tekanan pekerja dan bonus mencecah RM 1.3 juta diterima oleh pekerja Samsung Semiconductor.

Walaupun membayar bonus yang tinggi, Samsung kini meramalkan keuntungan operasi syarikat meningkat 19 kali ganda pada suku ini berbanding suku sama tahun lalu dipacu oleh permintaan untuk memori yang dilihat masih tiada penghujung.
Keuntungan operasi dijangka mencecah 89.4 trilion won (~RM 239 bilion) berbanding hanya 4.7 trilion won (~RM 13 bilion) tahun lalu. Keuntungan ini adalah lebih tinggi berbanding gabungan keuntungan tiga tahun sebelumnya. Pendapatan akan kekal meningkat dalam masa terdekat dengan pengeluaran memori HBM akan ditingkatkan bagi memenuhi keperluan pusat data AI.
Walaupun sedang melalui era “Kimchi runtuh”, peningkatan keuntungan ini hanya dilihat pada perniagaan semikonduktor. Samsung Mobile dan perniagaan barangan rumah dijangka mengalami kerugian kerana peningkatan kos serta penarikan diri daripada pasaran China beberapa bulan lalu.
Sumber – Reuters