U Mobile Perkenalkan Ultra Tourist Plan Dengan Harga RM15 Seminggu – 100GB Data Dan Baucar Grab Eksklusif
Amy Maizuraa
U Mobile memperkenalkan ULTRA Tourist Plan, iaitu pelan prabayar khas untuk pelancong luar negara yang berkunjung ke Malaysia. Pelan ini dirangka bagi membantu mereka menikmati perjalanan dengan lebih mudah serta kekal berhubung sepanjang berada di negara ini.

ULTRA Tourist Plan menawarkan tempoh sah selama tujuh hari dengan 100GB data berkelajuan tinggi pada harga RM15 sahaja. Selain itu, pelan ini turut menyokong penggunaan hotspot sekali gus membolehkan pelancong berkongsi internet dengan peranti lain. Menariknya, pelan ini hadir bersama kerjasama Grab Malaysia di mana setiap pelancong yang melanggan akan menerima Grab Visit Malaysia 2026 Travel Pass bernilai sehingga RM186.

Pass ini mengandungi 22 baucar Grab yang merangkumi diskaun perjalanan seperti airport rides, EV rides, GrabRent dan GrabExec, diskaun makanan melalui GrabFood dan Grab Dine Out, serta diskaun beli-belah di GrabMart. Kerjasama ini turut mencerminkan komitmen U Mobile dalam menyokong industri pelancongan Malaysia khususnya sempena Visit Malaysia Year 2026 dengan menawarkan akses teknologi moden yang mampu mempertingkat pengalaman pelancong sepanjang berada di negara ini.

Untuk menebus, pengguna perlu mendapatkan kod 8 digit yang dihantar ke alamat e-mel berdaftar dengan U Mobile. Seterusnya, muat turun aplikasi Grab dan daftar akaun menggunakan nombor telefon dari negara asal (bukan nombor Malaysia) serta kad kredit atau debit luar negara. Setelah akaun berjaya didaftarkan, pilih menu Buy Travel Pass dalam aplikasi Grab dan masukkan kod 8 digit tersebut di ruangan ‘promo code’ untuk menebus baucar.
Penting untuk diingat bahawa akaun Grab mestilah didaftarkan dengan nombor telefon bukan Malaysia bagi memastikan OTP dapat diterima dan proses penebusan dapat dilakukan dengan berjaya.