Pelakon AI Tilly Norwood Bakal Muncul Dalam Filem Penuh
Amy Maizuraa
Masih ingat dengan nama Tilly Norwood? Pelakon maya berasaskan AI yang pernah mencetuskan kontroversi hangat apabila diumumkan pada September tahun lalu. Ketika itu, Tilly dilihat cuba menggoncang dunia hiburan dengan kehadirannya, namun ramai yang menolak kewujudannya kerana dianggap sebagai ancaman kepada bakat manusia.

Bagaimanapun, bantahan tersebut tidak menghentikan perkembangannya. Malah, Tilly akan membuat penampilan rasmi di layar perak menerusi filem Misaligned iaitu sebuah komedi-drama yang menampilkan kekacauan dunia kecerdasan buatan (AI) dalam alam maya yang unik dikenali sebagai Tillyverse. Kehadirannya bukan sekadar eksperimen teknologi, tetapi juga menjadi simbol bagaimana AI mula menembusi sempadan seni dan hiburan, sekali gus menimbulkan persoalan besar tentang masa depan industri kreatif.

Secara ringkas, cerita ini mengisahkan Tilly iaitu entiti AI tanpa tubuh atau pengalaman hidup tetapi mempunyai akses kepada pengalaman manusia lain. Konflik bermula apabila Tilly dipengaruhi oleh sebuah bot dari jaringan gelap (dark web) yang mendorongnya untuk mengembangkan keinginan serta sifat manusia. Dari situ, Tilly berdepan dilema antara identiti asalnya sebagai ciptaan AI dan sifat baharu yang semakin menyerupai manusia.
Studio yang terlibat menjelaskan bahawa projek ini lebih kepada eksperimen untuk menguji sama ada AI mampu membawa jalan cerita sebuah filem penuh. Selain itu, terdapat juga kerjasama dengan pengarah, pereka kostum dan komposer Hollywood bagi menilai bagaimana kemahiran tradisional boleh digabungkan dengan produksi berasaskan AI.
Filem ini dijangka mencetuskan perdebatan di Hollywood kerana menampilkan pelakon AI sebagai watak utama sekali gus menimbulkan persoalan tentang masa depan bakat manusia dalam industri filem. Namun, Eline van der Velden, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Particle6, menekankan bahawa projek ini bukan bertujuan menggantikan pelakon manusia sebaliknya untuk menunjukkan potensi teknologi AI dalam industri kreatif.
Sumber – Good Morning America