Kamera Cermin Mata Pintar Meta Dimatikan Jika Lampu LED Dinyahaktifkan Pengguna
Effi Saharudin
Penggunaan cermin mata pintar Ray-Ban Meta mewujudkan kegusaran orang ramai dirakam tanpa kebenaran. Di Amerika Syarikat rakaman di kawasan awam dibenarkan jika menerima kebenaran tetapi di Jepun pula ia adalah tabu kerana undang-undang privasi lebih ketat.
Meta hari ini mengumumkan fungsi kamera pada cermin mata pintar mereka akan dimatikan sekiranya ia mengesah lampu LED notifikasi telah dinyahaktifkan oleh pengguna. Secara lalai, lampu LED pada bahagian kanan cermin mata ini akan berkelip-kelip apabila rakaman video sedang dilakukan. Dengan ini orang sekeliling akan mengetahui mereka sedang dirakam. Jika lampu LED ini dihalang dengan pelekat misalnya, perisian akan menghalang rakaman dilakukan.

Tetapi wujud perkhidmatan pihak ketiga yang mematikan lampu LED ini. Meta juga mengatakan telah membuang dan mengharamkan iklan menawarkan perkhidmatan ini daripada platform mereka. Menyedari isu privasi dan liabiliti yang bakal menimpa, kemas kini perisian yang mematikan fungsi kamera jika lampu LED diubahsuai diberikan dengan segera oleh Meta.
Isu privasi dan rakaman video tanpa kebenaran telah wujud sejak Google Glass diumumkan pada tahun 2013. Tetapi ini adalah era sebelum rakaman sepanjang masa menjadi norma harian seperti sekarang. Yang pasti di Malaysia masih tiada RUU menghalang rakaman menggunakan cermin mata pintar sehingga melanggar privasi individu.