Meta Lancarkan Model AI Generatif Terkini Muse Image dan Muse Video
Effi Saharudin
Meta melancarkan dua model kecerdasan buatan (AI) generatif terbaru iaitu Muse Image dan Muse Video. Ia adalah dua model AI generatif pertama yang dibangunkan oleh Meta Superintelligence Labs. Dengan kedua-dua model Muse terkini ini, imej serta video yang lebih realistik boleh dijana pengguna platform milik Meta.

Muse Image sudahpun boleh digunakan dalam Meta AI hari ini. Di Instagram, ia menyediakan lebih 30 kesan khas AI baharu untuk Instagram Stories. Di WhatsApp pula ia boleh menjana imej dalam chat dengan ia kini diberikan secara berperingkat kepada pengguna global.

Seperti model AI generatif lain di pasaran, Muse Image boleh menjana imej menggunakan beberapa rujukan yang diberikan oleh pengguna. Output Imej yang dijana juga boleh mengikut beberapa gaya seperti carta, komik, realistik, infografik, animasi dan banyak lagi. Dalam beberapa ujian penanda aras untuk janaan imej, Muse Image di tangga kedua dalam kemampuan teks-ke-imej, suntingan gambar dan menyunting banyak imej serentak.

Sementara itu Muse Video juga boleh dipratonton oleh sebilangan pengguna. Ia menawarkan prestasi kompetitif dalam ketepatan mematuhi prom yang diberikan, ketepatan visual dan konsisten dalam janaan video. Muse Video akan ditawarkan tidak lama lagi kepada pencipta kandungan dan dalam Meta AI.
Setiap imej dijana oleh Muse Image hadir dengan tera air Content Seal untuk membolehkan ia dikesan sebagai imej janaan AI. Content Seal akan kekal walaupun imej disunting, dipotong dan diambil menggunakan tangkapan layar sekalipun. Meta sedang dalam usaha menggunakan Content Seal pada video yang dijana oleh Muse Video di masa hadapan.