Microsoft Menguji Ciri Cloud Rebuild Untuk Memudahkan Pemasangan Semula Sistem Operasi Windows 11
Nazrin
Baru-baru ini, program Window Insider telah menerima satu kemaskini ciri-ciri baharu untuk diuji, dan antaranya ialah ciri Cloud Rebuild, yang membolehkan pengguna untuk set semula sistem operasi Windows 11 ke versi yang paling stabil, walaupun sistem operasi asal tidak berfungsi secara yang sepatutnya.
Secara ringkasnya, ciri Cloud Rebuild ini adalah sama seperti Reset This PC, cuma ia akan memuat-turun bukan sahaja versi sistem operasi stabil yang terkini, tetapi juga boleh memuat-turun perisian-perisian pemandu yang sudahpun dipasang pada komputer sebelum ini. Fungsi Cloud Rebuild boleh diakses melalui Windows Recovery Environrment yang secara lazimnya diperlihatkan apabila sistem operasi Windows 11 perlu “diperbaiki” sebelum ia boleh digunakan.
Satu lagi kelebihan Cloud Rebuild ialah pengguna tidak perlu pemacu USB dengan fail ISO Windows 11 untuk menggunakan ciri ini, tetapi ia juga bermaksud bahawa komputer anda akan perlu memastikan bahawa komputer anda disambungkan ke rangkaian internet menggunakan sambungan kabel ataupun WiFi untuk Cloud Reboot memuat-turun fail-fail yang diperlukan untuk pemasangan semula.
Fungsi ini dilihat berguna sekiranya anda tidak boleh mengakses sistem operasi asal, dan mahukan cara yang cepat dan mudah untuk memasang sistem operasi baru tanpa perlu menggunakan perisian pemasangan. Untuk syarikat-syarikat dengan komputer bermasalah, mereka juga boleh menggunakan fungsi Cloud Reset secara jarak jauh untuk memasang semula sistem operasi tersebut.
Buat masa ini ia tidak diketahui lagi bilakah Microsoft akan memperkenalkan ciri ini untuk versi penuh Windows 11.
Sumber: Microsoft