Netflix Pertimbang Tawar Saluran TV Secara Langsung Dalam Platform
Effi Saharudin
YouTube memulakan era penstriman video yang dipaparkan apabila ingin ditonton. Netflix maju setapak dengan menawarkan filem dan siri TV berkualiti tinggi apabila ingin ditonton. Tetapi dengan media sosial serta video pendek kini mendominasi dunia, Netflix berhadapan isu waktu tontonan dalam platform yang semakin menjunam.

Terkini Netflix dikatakan sedang mempertimbangkan menawarkan saluran TV secara langsung bagi meningkatkan waktu tontonan dalam platform menurut laporan WSJ. Idea di sebalik penawaran ini ialah Netflxi menjadi seperti TV tradisional dengan kandungan ditawarkan secara langsung pada TV dan peranti. tanpa pengguna memilih apa yang ingin ditonton.
Antara yang turut dipertimbangkan ialah menawarkan berkas platform Peacock dalam aplikasi mereka. Ini sudahpun ditawarkan oleh Amazon, YouTube TV dan Apple TV di Amerika Syarikat. Di Malaysia pula Unifi TV dan Astro juga sudah lama menawarkan kandungan secara langsung dan kandungan on demand sejak sekian lama.

Sejak kebelakangan ini Netflix berjinak-jinak dengan kandungan video menegak, melesenkan podsiar dalam bentuk video dan terkini video-video pendek yang diterbitkan BuzzFeed, Tastemade serta PMX. Netflix pernah berkata pesaing mereka bukan Disney+ tetapi adalah Fortnite. Netflix Games kemudian dibentuk dan permua menggunakan IP mereka ditawarkan kepada pelanggan.
Jangkaan mereka meleset kerana pesaing mereka ialah TikTok dan kemampuan memberikan perhatian penonton yang kini semakin pendek. Studio permainan video Netflix Games kemudian ditutup dan penawaran permainan video dalam aplikasi sudah semakin jarang,.
Model penawaran kandungan yang distrim oleh pengguna nampaknya akan kembali kepada asal dengan kandungan dimainkan di latar tanpa dikawal seperti model asal TV terestrial. Saya boleh katakan pada anda inilah yang berlaku di rumah saya sekarang. Buka RTMKlik dan biarkan ia menstrim TV secara langsung seperti zaman saya membesar dalam dekad 80an dahulu. Tak perlu pening kepala fikir apa yang ingin ditonton.