Teknologi Referee View Lenovo Dapat Sambutan Di Piala Dunia – Ubah Cara Menonton Bola Sepak
Amy Maizuraa
Musim FIFA semakin rancak dengan aksi sengit di padang. Namun kali ini bukan sekadar bola sepak sahaja yang menjadi tumpuan kerana teknologi baharu turut menjadikan pengalaman menonton lebih menyeronokkan serta lebih dekat dengan aksi.

Referee View ialah teknologi baharu yang menggunakan kamera kecil pada pengadil dengan sokongan AI Lenovo untuk memberikan penonton sudut pandang terus dari padang, seolah-olah mereka berada di tengah-tengah aksi. Untuk rekod, sebelum ini sudut pandang pengadil tidak pernah ditayangkan secara rasmi dalam siaran bola sepak. Hal ini menjadikan Referee View sebagai penampilan sulung di peringkat global.

Teknologi Referee View lazimnya ditayangkan sebanyak tiga kali dalam setiap perlawanan di lebih 220 negara. Penyiar akan menggunakan sudut pandang ini pada detik-detik penting, antaranya ketika jaringan gol, semasa pemain berbual atau ketika berlaku aksi mencemaskan di padang. Dengan liputan yang meluas, Referee View bukan sahaja menambah sudut kamera baharu malah turut menjadikan pengalaman menonton lebih dekat dengan aksi, seolah-olah penonton berada di tengah-tengah padang.

Pada peringkat awal, teknologi ini digunakan secara berhati-hati. Namun, apabila tayangan semula dari sudut pandang pengadil ditunjukkan, orang ramai mula berminat kerana dapat menyaksikan aksi hampir sama seperti yang dilihat oleh mata pengadil sendiri. Malah, teknologi ini bukan sekadar hiburan tetapi turut meningkatkan kepercayaan kerana penonton dapat melihat bagaimana pengadil menilai sesuatu keputusan.