Sony RX10 V Dijual Di Malaysia Pada Harga RM8999
Amy Maizuraa
Sony mengumumkan RX10 V di Malaysia selepas hampir sembilan tahun model terdahulu dilancarkan. Kamera ini dilengkapi dengan sensor Exmor RS CMOS bertindan 1″ beresolusi 20.1MP serta enjin pemprosesan imej BIONZ XR. Ia dipadankan dengan lensa tetap ZEISS Vario-Sonnar T 24-600mm F2.4-4.0 yang dilengkapi penstabilan optik.

Julat zum optik 25 kali ganda disediakan membolehkan kamera ini merakam pelbagai senario daripada sudut lebar untuk kegunaan harian hinggalah telefoto jarak jauh. Selain itu, makro juga boleh dilakukan dengan jarak fokus sedekat 3cm pada panjang fokal paling panjang iaitu 600mm. Pada kedudukan ini, kamera boleh zum jauh untuk merakam subjek seperti burung atau hidupan liar.

Kamera ini turut dilengkapi sistem Real-time Recognition AF yang dikuasai oleh pemprosesan AI khusus. Sistem ini mampu mengenal pasti manusia, haiwan, kereta dan kapal terbang melalui mod automatik yang akan menentukan jenis subjek secara sendiri. Selain itu, teknologi anggaran kedudukan tubuh manusia membolehkan penjejakan dilakukan walaupun wajah tidak jelas atau subjek membelakangi kamera.

RX10 V turut menawarkan pemidang tilik OLED Quad-VGA bersaiz 0.5 inci dengan kira-kira 3.68 juta titik, serta skrin LCD belakang dengan kira-kira 1.62 juta titik. Hayat baterinya mampu bertahan sehingga kira-kira 630 rakaman bagi setiap cas menggunakan bateri NP-FZ100.

Dalam masa yang sama, RX10 V menyokong rakaman 4K 120p untuk main semula gerak perlahan sehingga lima kali dalam resolusi 4K. Fungsi penstabilan imej Active Mode dan Auto Framing berasaskan AI membantu mengekalkan subjek di dalam bingkai. Profil warna S-Cinetone dan S-Log3 turut disediakan dengan sokongan sehingga 16 LUT.

RX10 V kini boleh ditempah awal di Malaysia pada harga RM8,999 melalui saluran rasmi Sony. Pembelian ini akan disertakan bateri NP-FZ100 percuma dan beg galas PGYTECH OneGo Lite 22L bernilai RM988.